SELEPAS kecundang di tangan Novak Djokovic pada aksi final Wimbledon bulan lalu, Roger Federer bangkit menebus kekecewaan dengan menundukkan pemain Serbia itu pada final Cincinnati Masters, awal pagi Isnin. Federer menang 7-6 (1) 6-3 sekali gus membolehkan beliau menjulang trofi ketujuh pada kejohanan tersebut. Kemenangan tersebut meningkatkan keyakinan Federer untuk berentap pada aksi Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung pada 31 Ogos hingga 13 September ini. Federer sedang berusaha meraih gelaran keenamnya di Flushing Meadows. Pemain Switzerland itu juga akan merampas kembali ranking kedua dunia pada Isnin. Serena menjulang trofi yang dimenanginya. Dalam perlawanan berasingan, Serena Williams turut menjulang trofi Cincinnati Masters selepas menewaskan pemain pilihan ketiga Simona Halep 6-3 7-6 (5) di final. Ia adalah gelaran juara kelima buat Williams pada musim ini. Terdahulu, Williams turut melakar kejayaan pada Terbuka Australia, Miami, Terbuka Perancis dan Wimbledon.