KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda C (Bawah 19) mempamerkan aksi cemerlang untuk mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Singapura pada aksi kedua kumpulan B Kejohanan Bola Sepak AFF B-19 di Stadium Nasional Laos di Vientiane, Selasa. Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-16 menerusi jaringan penyerang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew sebelum dia menggandakan kedudukan selang enam minit kemudian. Bersambung babak kedua, skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras itu menambah jaringan menerusi sentuhan penyudah Muhammad Nazirul Afif Ibrahim pada minit ke-64 dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah, dua minit sebelum perlawanan tamat. Skuad B-19 negara akan meneruskan aksi ketiga menentang Vietnam, Khamis ini sebelum menamatkan cabaran pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian. Malaysia membuka cabaran dalam kempen ini dengan menang tipis 2-1 ke atas Timor Leste, Ahad lepas. Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan yang diperkenalkan sejak 2002 itu adalah muncul naib juara pada 2005, 2006 dan 2007.