JOHOR BAHARU: Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan tugas getir pada aksi timbal balik selepas seri 1-1 dengan wakil Hong Kong, South China pada suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam Selasa. JDT menguasai babak awal perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan pelawat, namun dihampakan ketumpulan jentera serangan dan kekebalan pertahanan lawan yang diketuai Moses Mensah. Keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan. Bersambung separuh masa kedua, JDT meneruskan asakan ke kubu pelawat dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-49. Pengadil dari Oman, Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf menghadiahkan sepakan penalti itu selepas hantaran silang S. Kunanlan terkena tangan Mensah. Tersentak dengan gol berkenaan, South China kembali bangkit dan berjaya menjadikan kedudukan 1-1 selepas Mahama Awal memanfaatkan permainan 1-2 bersama Chan Siu Ki sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan. Kedua-dua pasukan terus berusaha menambah jaringan namun kekebalan benteng pertahanan masing-masing menyaksikan perlawanan berakhir dengan seri 1-1. Skuad Harimau Selatan akan berkunjung ke Hong Kong untuk perlawanan suku akhir kedua, 15 September ini. Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam turut berkenaan hadir menyaksikan perlawanan berkenaan. Satu lagi wakil negara, Pahang yang merupakan naib juara Liga Super dijadual menentang wakil Tajikistan, FC Istiklol di tempat lawan, esok sebelum aksi timbal balik pada 16 September ini di Kuantan, Pahang.