SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil langkah drastik menggugurkan semua pemain skuad Liga Perdananya termasuk ketua jurulatih, K Devan, selain memperkenalkan sistem gaji baharu untuk musim depan. Kecuali enam pemain Piala Presiden dalam skuad Liga Perdana musim ini yang dikekalkan, Negeri Sembilan bakal berwajah baru musim depan dengan jurulatih luar negara diburu serta empat pemain import yang tidak pernah beraksi di liga tempatan. Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat pengurusan PBNS pada Selasa. "Tindakan drastik ini diambil setelah kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan skuad kali ini. Kita telah berbelanja banyak tetapi tidak mendapat pulangan yang diharapkan. "Matlamat kita musim ini ialah untuk layak ke Liga Super musim depan tetapi malangnya saya tidak tahu di mana silapnya. Jadi untuk kebaikan semua, saya lepaskan semua orang termasuk ketua jurulatih K. Devan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu. Negeri Sembilan yang menduduki tempat keenam Liga Perdana musim ini, gagal melayakkan diri beraksi dalam Piala Malaysia setelah tewas 0-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan play-off di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor malam Selasa. Kekalahan itu menyaksikan skuad Rusa gagal membuat penampilan dalam saingan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut. Mohamad berkata, sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk pemilihan pemain dan pegawai termasuk jurulatih musim depan dan mereka sudah diarahkan pergi sendiri ke negara yang sudah dikenal pasti untuk mendapatkan jurulatih dan pemain dengan harga berpatutan. Mulai tahun depan juga, kata Mohamad, PBNS akan memperkenalkan satu sistem korporat di mana pemain tidak diberi gaji tinggi sebaliknya gaji pokok serta elaun kemenangan. "Sebagai contoh setiap kali menang kami akan beri RM50,000 dan dibahagikan kepada pemain. Jadi, ianya seperti insentif kemenangan. Jadi, nak duit, pemain perlu menang. "Saya percaya cara ini lebih berkesan kerana ianya lebih kepada insentif daripada gaji pokok. Bila gaji terlalu banyak (tinggi), mereka tiada lagi semangat untuk bermain. "Malah, kadang-kadang mereka sengaja cedera kerana gaji dah banyak. Jadi, dengan elaun kemenangan ini, siapa yang bermain sepenuh masa dapat elaun penuh, yang main separuh masa dapat setengah dan mereka yang menjadi pemain simpanan, tidak mendapat apa-apa," katanya. Menurut Mohamad, cara ini juga akan mewujudkan saingan sesama pemain untuk merebut tempat dalam pasukan utama. Katanya ekoran tindakan menggugurkan pemain Liga Perdana itu, PBNS kini mempelawa pemain muda bawah 21 tahun di seluruh negara untuk beraksi dengan Negeri Sembilan musim depan. "Kita akan membuat pemilihan dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi pejabat PBNS 06-7628494 pada waktu pejabat," katanya.