KUALA LUMPUR: Bekas atlet Sukan Olimpik atau Olympian bukan kriteria wajib untuk menjadi calon ketua kontinjen negara atau Chef de Mission (CDM) untuk Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janerio, Brazil. Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata walaupun terdapat sebilangan besar bekas Olympian namun kriteria paling utama adalah kemampuan dan keupayaan calon untuk menggalas tanggungjawab itu. "Saya fikir ada sedikit lebih daripada itu (Olympian) untuk menjadi CDM. Jelas sekali, untuk jawatan berprestij seperti Sukan Olimpik, kita perlu mencari orang yang sesuai dan tepat untuk jawatan itu. "Selama ini, kita dapat melihat senarai bekas Olympian yang boleh dipertimbangkan tetapi ia tidak semestinya kriteria. Ia adalah baik tetapi orang yang sesuai adalah yang kita perlukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas lembaga eksekutif MOM di Wisma OCM pada Jumaat. Menurutnya, terdapat sebilangan calon termasuk calon wanita untuk dipertimbangkan tetapi enggan mendedahkan jumlah sebenar atau nama calon. Bagaimanapun, Tunku Imran berkata pihaknya mungkin akan mengumunkan calon CDM bagi Sukan Olimpik 2016 semasa mesyuarat lembaga itu pada 7 atau 22 September ini. Mengenai calon CDM untuk Sukan SEA 2017, beliau berkata ia merupakan isu yang sukar kerana memerlukan calon yang dapat memberikan komitmen untuk jangka masa yang lama. "Idea itu bagi memastikan calon yang dilantik perlu meluangkan masa untuk menghadiri dan menyertai dalam banyak mesyuarat kerana kita merupakan tuan rumah untuk temasya dwitahunan itu kali ini," katanya. Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar bekas atlet atau Olympian dilantik sebagai CDM ke Sukan Olimpik 2016 dan Sukan SEA 2017. Menurutnya bekas atlet adalah sesuai untuk menggalas tugas tersebut kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam urus tadbir persatuan dan mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi.