suria

Anthony Martial Tiba Di Manchester Lengkapkan Perpindahan Ke United

Anthony Martial kini melengkapkan perpindahannya ke Manchester United dari Monaco.

> Manchester United berjaya dapatkan pemain remaja berusia 19 tahun dari Monaco

> Harga perpindahan itu bernilai £36 juta tapi boleh meningkat kepada £58 juta

> Ini termasuklah bayaran bonus dan anugerah lain

> Martial akan mencatat sejarah sebagai pemain termuda paling mahal dalam sejarah

> Louis van Gaal terpaksa membawa masuk penyerang baru ekoran ketumpulan barisan serangannya

> United tumpas 1-2 di tangan kelab kerdil Swansea City Ahad lalu

PEMAIN sensasi Perancis, Anthony Martial dari kelab Monaco tiba di Ibu Pejabat Manchester United di Carrington untuk menjalani ujian perubatan sekaligus melengkapkan perpindahannya ke kelab tersebut yang bakal mencatat sejarah sebagai pemain termuda paling mahal di dunia.

Kedua-dua belah pihak bersetuju dengan bayaran perpindahan berjumlah £36 juta untuk pemain berusia 19 tahun itu.

Persetujuan itu dicapai di saat-saat akhir sebelum pintu perpindahan untuk musim ini ditutup pada Selasa.

Para jurugambar telah berjaya merakamkan fotonya sedang dipandu masuk ke pusat latihan United itu pada Isnin.

Adalah difahamkan, sebahagian daripada persetujuan perpindahan Martial ke United turut melibatkan pertukaran salah seorang pemain United ke Monaco.

Pada mulanya Monaco mahukan penyerang United, Javier Hernandez tetapi oleh kerana United telah memberi persetujuan untuk menjual pemain itu kepada Bayer Leverkusen, mereka meminta Marcos Rojo, pemain pertahanan United dari Argentina.

United dikatakan bersetuju dengan permintaan itu setelah tercetusnya insiden perbalahan antara pengurus United, Louis van Gaal dengan Rojo. Sejak Rojo pulang dari cuti akhir musim yang panjang, dia tidak pernah tersenarai dalam kesebelasan utama United sepanjang musim baru ini.

Martial yang baru sahaja disenaraikan dalam skuad kebangsaan Perancis untuk perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Negara-Negara Eropah telah diberikan keizinan khas oleh Persekutuan Bolasepak Perancis untuk meninggalkan kem latihan kebangsaan untuk proses ujian perubatan di Manchester.

United terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang baru yang muda dan pantas setelah mereka bergelut untuk menjaringkan gol dalam perlawanan liga musim ini.

Selepas empat perlawanan liga mereka hanya mampu memperolehi empat gol.

Ahad lalu United tumpas di tangan kelab kerdil, Swansea City 1-2 dengan penyerang tunggal mereka, Wayne Rooney terlepas peluang sekurang-kurangnya tiga percubaan terbuka di depan gol.

Selepas menjual Robin van Persie kepada kelab Turki, Fernabache, melepaskan Radamel Falcao kepada Chelsea, Hernandez kepada Leverkusen, United sudah tidak mempunyai penyerang bertaraf dunia melainkan Rooney.

Rooney yang kini mencecah usia 30 tahun mendapati pergerakannya semakin perlahan dan ini menyukarkannya mencuri peluang menjaringkan gol dalam sebuah liga yang pantas sepertimana Liga Perdana Inggeris.

Tahun lalu United menjual penyerang antarabangsa England, Danny Welbeck kepada Arsenal.

Artikel Lain