suria

Skuad Kebangsaan Perlukan Barisan Jurulatih Baru - Shebby Singh

PETALING JAYA: Kekalahan teruk pasukan bolasepak Malaysia di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan ketiga Kumpulan A bagi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 jelas menunjukkan 'butang kecemasan' diperlukan oleh pengurusan skuad negara.

Penganalisis bola sepak tanah air, Serbegeth "Shebby" Singh berkata, apa yang berlaku itu sudah terlalu jelas.

"Sepatutnya sudah lama pasukan jurulatih yang tidak cekap dipecat. Jawatankuasa teknikal juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan skuad bola sepak negara.

"Dan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),  Fritz Schmid perlu segera mengambil alih pasukan bagi perlawanan akan datang," jelasnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Shebby yang bermain untuk Malaysia dari tahun 1982 hingga 1991 berkata, FAM perlu berfikir di luar kotak bagi merencanakan pelbagai carta dan halatuju masa depan bola sepak kebangsaan.

"FAM perlu bertindak segera kerana bola sepak Malaysia sudah bertahun mereput dan kini ia sudah busuk. Dan amat terang sekali pemain-pemain kita tidak cukup bagus dan kita tidak boleh memperbaikinya untuk baki perlawanan kelayakan ini.

"Apa yang perlu diutamakan sekarang, sama-sama berganding bahu ketika bertemu Arab Saudi nanti," jelasnya.

Malaysia bakal meneruskan perlawanan keempat kumpulan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September ini. 

Shebby Singh, Harimau Malaya

Artikel Lain