suria

Dua Si Tua, Lin Dan-Lee Chong Wei Kembali Merancakkan Dunia Badminton

Pemain veteran negara, Lee Chong Wei masih berjuang mati-matian untuk kembali sebagai pemain utama dunia walaupun pada usia 32 tahun.

DUA pemain veteran dalam dunia badminton telah kembali merancakkan gelanggang pertaruhan - seorang dengan muncul juara Terbuka Jepun Ahad lalu dan seorang lagi berazam untuk muncul juara pada Terbuka Korea yang bermula hari ini (Selasa).

Lin Dan, 31, yang merupakan juara dunia lima kali memenangi kejohanan siri supernya yang pertama tahun ini di Tokyo pada Ahad dengan menumpaskan anak muda dari Denmark Viktor Axelsen.

Sebelum itu dia terlebih dahulu menundukkan nemesisnya dan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, 32, pada pusingan kedua.

Di Terbuka Korea, Chong Wei perlu melalui proses pusingan kelayakan berdepan dengan pemain tempatan, Heo Kwang-hee. Jika menang, dia akan berdepan dengan pemain Jepun, Kenichi Tago.

Di pusingan awal, Chong Wei tidak akan bertemu dengan Lin Dan atau pilihan utama kejohanan, Chen Long.

Sebaliknya dia perlu bersedia untuk berhadapan dengan pilihan kedua kejohanan, Jan O Jorgensen dan kemudian naib juara Terbuka Jepun, Axelson.

Jurulatih kebangsaan, Hendrawan menaruh keyakinan yang tinggi ke atas Chong Wei yang kini berada di ranking ke-28 dunia akan bermain lebih baik di Terbuka Korea berbanding Jepun tempoh hari.

Tey Seu Bock telah dihantar ke Korea untuk membantu Chong Wei membuat persediaan rapi.

Chong Wei perlu meningkatkan persembahannya pada kejohanan ini kerana dia perlu berada dalang lingkungan ranking 20 pemain terbaik dunia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro tahun depan.

Lain-lain pemain Malaysia yang akan bertarung di Terbuka Korea ialah Goh V Shem-Tan Wee Kiong; Chan Peng Soon-Goh Liu Ying; Tan Aik Quan-Lai Pei Jing; Koo Kien Keat-Tan Boon Heong; Zulfadli Zulkifli dan Mohd Arif Abdul Latif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain