suria

FMLLP, FAM Perlu Cari Jalan Salur Dana - Tunku Ismail

JOHOR BAHARU: Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang bakal mengambil alih pengurusan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan, tidak seharusnya menumpukan perhatian semata-mata kepada membasmi rasuah dan keganasan bola sepak.

Sebaliknya, badan itu perlu memikirkan cara bagaimana menyalurkan dana daripada hak penyiaran perlawanan kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M, kata Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Banyak pasukan belum bersedia. Tanggungjawab persatuan induk bola sepak tanah air dan penaja, yang menaja liga perlu membantu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia, bukan nak kurangkan rasuah dan keganasan, itu bukan tugas mereka. 

"Itu tugas pihak berkuasa," titah Tunku Mahkota Johor itu pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini pada Jumaat.

Baginda mengulas laporan berita berhubung hasrat Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang mahu melancarkan kempen membasmi kes mengatur perlawanan dan budaya samseng bola sepak apabila mengambil alih pengurusan Liga M tahun depan.

Tunku Ismail bertitah walaupun persatuan bola sepak mempunyai tanggungjawab mencari peruntukan sendiri, dengan adanya wang daripada hak penyiaran, mereka dapat menggunakan dana itu untuk menambah baik kemudahan dan program pembangunan bola sepak belia.

"Memang tanggungjawab kita mencari duit dan penaja-penaja kita sendiri, tetapi itu sepatutnya menjadi bonus untuk kurangkan beban. Terutama apabila ada kes, penaja menarik tajaan menyebabkan ada pasukan terpaksa menanggung beban akibat daripada itu," titah baginda.

Tunku Mahkota Johor berharap agar FMLLP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) akan memberi penerangan jelas, bukan sahaja kepada PBNJ tetapi pasukan lain yang bertanding dalam Liga M musim depan.

Sementara itu, Tunku Ismail bertitah enam pemain import telah disenarai pendek untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan, bagi menggantikan Luciano Figueroa yang akan bersara daripada arena bola sepak.

"Itu keputusan Mario Gomez (ketua jurulatih) untuk membuat keputusan terbaik, apa yang terbaik untuk Johor Darul Ta'zim (JDT). Kita telah membuat susulan dengan mereka dan hendak tengok siapa yang terbaik untuk ganti Luciano," titah Tunku Ismail.

Baginda mengakui untuk menggantikan penyerang kelahiran Argentina itu adalah cabaran terbesar kepada JDT, memandangkan pemain import itu bukan sahaja menampilkan aksi yang baik, malah sangat berdedikasi serta berdisiplin di luar dan dalam padang.

Tanpa mendedahkan identiti calon pemain import terbaharu JDT itu, Tunku Ismail bertitah keenam-enam calon itu terdiri daripada pemain daripada Liga Eropah, China dan Amerika Selatan. 

Mengulas mengenai harapan JDT pada perlawanan separuh akhir Piala AFC 2015 menentang juara bertahan, Qadsia SC pada 29 Sept ini, baginda bertitah kelab dari Kuwait itu merupakan sebuah pasukan yang hebat.

"Untuk sampai ke separuh akhir Piala AFC satu pencapaian yang tinggi, dan itu sasaran kami sebelum musim (kejohanan itu) bermula. Kalau kita boleh pergi lebih jauh, Alhamdulillah, tetapi kalau tidak boleh pergi lebih jauh pun, saya tidak kecewa kerana sasaran telah tercapai," kata Tunku Mahkota Johor itu.

JDT melakar sejarah muncul pasukan pertama dari Malaysia mara ke separuh akhir Piala AFC 2015, selepas menewaskan kelab dari Hong Kong, South China 3-1 pada aksi suku akhir kedua, 15 September lepas.

Kemenangan itu menjadikan JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 4-2, setelah kedua-dua pasukan seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Larkin pada 25 Ogos lepas.-Bernama

Tunku Ismail, FAM, FMLLP

Artikel Sebelum

Artikel Lain