Menterinya Khairy Jamaluddin berkata geran penganjuran akan diberikan kepada syarikat yang menawarkan kos rendah, tetapi mereka perlulah berpengalaman dalam mengendalikan perlumbaan jelajah itu.
"Kepada syarikat swasta berminat, mereka boleh menghantar cadangan...yang penting kita perlu membuat keputusan cepat kerana sudah kesuntukan masa," katanya kepada pemberita selepas program acara larian bersama atlet kebangsaan dan lebih 600 staf Astro di Pusat Penyiaran Asia Astro di Bukit Jalil Selasa.
Khairy sebelum ini, dilaporkan berkata bahawa KBS sedia mempertimbangkan untuk meningkatkan geran penganjuran LTdL atau mencari penganjur baharu.
Katanya Human Voyage Sdn Bhd turut menghantar cadangan namun mereka meletakkan peruntukan yang tinggi.
"Kalau semua syarikat menawarkan kos lebih kurang sama (kos tinggi), tawaran itu akan diberikan kepada syarikat yang berpengalaman," katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata semua pihak perlu memberi masa kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen dalam menyediakan pemain yang kompetitif sebagai persediaan meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.