KUALA LUMPUR: Pemain bukan pilihan, Benjamin Becker melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan keempat, Grigor Dimitrov dari Bulgaria di suku akhir kejohanan tenis Terbuka Malaysia (MOKL) di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Jumaat. Pemain berusia 34 tahun dari Kanada yang berada pada ranking ke-74 dunia menundukkan Dimitrov, pemain nombor 18 dunia, 6-4, 7-6(3) dalam pertarungan 95 minit. Kemenangan itu membolehkan Becker menentang pemain nombor lapan dunia, David Ferrer di separuh akhir pada Sabtu. Ferrer mara selepas menjinakkan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin, 6-3, 6-4. "Dia (Dimitrov) adalah pemain yang hebat, cukup berbakat. Saya sedar akan berdepan laluan sukar apabila menentang pemain sehebatnya. "Saya bermain dengan baik di set pertama dan agak bertuah di set kedua. Iniadalah aksi yang baik untuk saya," kata Becker. Sementara itu, Ferrer mengakui Becker bermain dengan baik di kejohanan ini dan percaya pertemuan separuh akhir nanti adalah sengit. Dalam satu lagi aksi, Feliciano Lopez mara ke separuh akhir selepas menewaskan Vasek Pospisil dariKanada 6-7(2), 6-3, 6-2 dalam pertarungan dua jam. "Permainan saya hari ini (Jumaat) lebih baik daripada semalam. Saya tidak begitu yakin tetapi hari ini permainan saya semakin meningkat. "Walaupun saya tewas set pertama, permainan saya lebih baik. Saya gembira dapat mematahkan servisnya tiga kali," kata Lopez. Lopez bakal berentap dengan Nick Kyrgios pada saingan separuh akhir nanti mengakui pemain muda dari Australia itu merupakan lawan yang sukar dan perlu berhati-hati dengan pukulan forehand lawan itu.