KUALA LUMPUR: Pasukan negara akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 selepas menundukkan tuan rumah Timor Leste pada aksi di Stadium Municipal, Dili pada petang Selasa. Gol kemenangan tunggal perlawanan pusingan kedua peringkat Kumpulan A itu hadir menerusi pemain senior Amri Yahya pada minit ke-10 perlawanan. Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berjaya mempertahankan keputusan sehingga tamat masa permainan sebenar. "Apa yang penting di sini kita dapat mencatat kemenangan pertama peringkat kelayakan yang sememangnya kita tahu ia amat penting untuk hidupkan kembali peluang menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan. "Perlawanan agak sukar dengan cuaca yang panas namun semua pemain telah bermain bersungguh-sungguh. Bagi saya satu gol yang dijaringkan itu cukup baik dan kita dapat bermain sehingga minit ke-90. "Saya tidak peduli apa yang berlaku di padang yang penting kita dapat satu gol dengan tiga mata. Kalau kita dapat tiga gol pun dan kita dibolosi dengan empat gol, kita tetap kalah. Yang mustahak kemenangan dan selepas ini kita perlu lebih berdisiplin. "Saya percaya ini kali pertama kita gagal dibolosi setelah sekian lama. Jadi bahagian pertahanan dan semua pemain telah membuktikan mereka boleh bertahan dengan tiga mata menggunakan corak permainan dan taktikal yang kita latih," jelasnya selepas perlawanan menerusi rakaman yang diberikan oleh pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Skuad kebangsaan seterusnya akan bertemu Lubnan pada 7 November ini sebelum meneruskan kempen kelayakkan ke atas Palestin pada 12 November, menerima kunjungan UAE pada 17 sebelum menamatkan pusingan kedua kempen di Arab Saudi pada 24 Mac depan. Pasukan kebangsaan yang sekadar seri 1-1 menentang Timor Leste di Stadium Bukit Jalil selain kekalahan memalukan 6-0 dengan Palestin dan 10-0 di tangan UAE sebelum didenda dengan keputusan 3-0 berpihak kepada Arab Saudi akibat tindakan liar penyokong, menduduki tangga tercorot Kumpulan A dengan hanya satu mata dibolosi 20 gol. Malaysia yang menamatkan badi tanpa kemenangan dalam aksi antarabangsa hampir 10 bulan dengan menewaskan Laos 3-1 di Bangkok, Thailand dan prestasi baik semasa aksi ke atas Arab Saudi memberikan sedikit harapan buat skuad kebangsaan untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2019. Kali terakhir Harimau Malaya mencipta kemenangan ialah pada aksi final Piala AFF Suzuki 2014 di Bukit Jalil pada 20 Disember lepas, iaitu kemenangan 3-2 ke atas Thailand namun tewas 3-4 pada keputusan agregat.