KUALA LUMPUR: Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur diubah kepada 19 hingga 31 Ogos 2017 selepas tarikh asal 16-30 September, bertindih dengan Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia di Ashgabat, Turkmenistan. Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata pihaknya memutuskan mengubah tarikh itu sesuai dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan negara seperti diminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. "Jadi kita memutuskan menganjurkannya lebih awal daripada tarikh asal dan menteri juga bersetuju dengan tarikh itu. Ia hanya dua minggu lebih awal. "Kita perlu bekerja lebih cepat untuk menganjurkan Sukan SEA dan saya percaya semuanya akan siap menjelang temasya itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM pada Selasa. Mengulas keghairahan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memasukkan sukan tradisi Myanmar, chinlone sebagai acara Sukan SEA 2017, Tunku Imran berkata ia hanyalah satu daripada acara dalam sepak takraw. Katanya jika PSM dapat membuktikan mereka mampu memenangi emas dalam acara itu, barulah Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia akan mempertimbangkannya. "Kita tidak mahu acara sukan yang tidak popular. Kita mahu menjuarai carta pingat, kita mahukan pingat emas," katanya. Sebelum ini, PSM bertegas mahukan acara itu yang hampir sama dengan sepak takraw untuk temasya dwitahunan itu selepas menerima sokongan daripda anggota gabungan mereka. Chinlone telah menjadi sukan pertunjukkan dalam beberapa kejohanan tempatan seperti Piala Emas Khir Johari pada Januari lepas, begitu juga ketika Kejohanan Siri Super ISTAF di Melaka pada Februari. Untuk rekod, Malaysia memenangi satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara chinlone sewaktu Sukan SEA Singapura, Jun lepas. Sementara itu, Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata semua acara yang dikemukakan persatuan sukan bagi penganjuran Sukan SEA 2017 masih belum diteliti secara mendalam. "Jawatankuasa penyelarasan teknikal akan membuat keputusan akhir selewat-lewatnya sebelum mesyuarat Persekutuan Sukan SEA pada Mac tahun hadapan. "Kita ada senarai panjang iaitu lebih kurang 39 jenis sukan yang akan diketengahkan untuk dipertandingkan di Sukan SEA nanti," katanya. -Bernama