suria

Peruntukan RM75 Juta Program Podium Berbaloi - Dr Ramlan

Dr Ramlan Aziz

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM75 juta untuk Program Podium menerusi Bajet 2016 menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan atlet berprestasi tinggi dalam mencapai kecemerlangan di temasya sukan utama dunia.

Program Podium merupakan program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan di bawah kelolaan Institut Sukan Negara (ISN).

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata peruntukan berkenaan adalah berbaloi untuk membolehkan mereka menyediakan atlet cemerlang merangkumi aspek sains sukan yang menyumbang kepada kejayaan seseorang atlet di pentas sukan antarabangsa.

"Dengan bajet ini, kita berharap ia dapat membantu atlet elit negara untuk mencapai prestasi terbaik mereka pada temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik.

"Bajet ini juga akan memastikan masa depan atlet bukan sahaja terjaga tetapi ia mampu meningkatkan kemampuan atlet itu sendiri untuk menjadi insan berjaya," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Selain peruntukan sebanyak RM75 juta untuk Program Podium, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi pembentangan Bajet 2016 hari ini turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 pada 2017 serta pembinaan dua buah kompleks sukan baharu bernilai RM22 juta masing-masing di Bagan Datoh, Perak dan Kuantan, Pahang.

Mengulas lanjut, Dr Ramlan berkata, menerusi peruntukan besar itu ISN dapat menjalankan latihan saintifik yang lebih komprehensif selain memastikan pengurusan atlet lebih berkesan.

"Ia juga membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya dalam menghadapi sesuatu kejohanan termasuk temasya sukan utama seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin persatuan sukan kebangsaan yang dihubungi Bernama yakin bajet RM75 juta itu mampu menyuntik semangat pada atlet masing-masing untuk terus mempamer aksi cemerlang pada kejohanan antarabangsa.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, peruntukan berkenaan mampu membantu badan induk badminton untuk mempersiapkan atletnya.

"Selain itu, peruntukan ini dapat memastikan kita menyediakan jurulatih yang mempunyai kepakaran sains sukan kelas pertama dalam membantu atlet kita mencatat kejayaan cemerlang pada temasya sukan utama seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad pula menegaskan peruntukan itu bukan sahaja dapat memberi rangsangan kepada mereka dalam melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal bertaraf dunia tetapi membantu Malaysia mencapai pingat emas sulung pada Sukan Olimpik pada masa depan.

"Kita sudah menyenaraikan lima atlet di bawah Program Podium iaitu Mohd Azizul Hasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Firdaus Mohd Zonis (acara trek lelaki) serta Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet," katanya.-- Bernama



Program Podium, Bajet 2016, ISN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain