KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM145 juta untuk persediaan atlet Sukan SEA dan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur menunjukkan kerajaan fokus kepada matlamat Malaysia untuk menjadi juara keseluruhan. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata peruntukan spesifik dan pengiktirafan itu akan melonjakkan semangat MSN untuk berusaha lebih giat dalam menyediakan program latihan atlet terbaik. "Program 'Kita Juara' yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti hampir 800 atlet bagi fasa satu dan akan menjalani latihan sepenuh masa bagi tujuan itu. "Atlet-atlet paralimpik pula akan mulakan program persediaan mereka tahun hadapan untuk Para ASEAN 2017," katanya kepada Bernama, di sini. Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos 2017 di Kuala Lumpur. Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sukan Para Asean 2017. "ISN seharusnya lebih bersedia bagi merealisasikan harapan negara agar atlet-atlet elit negara mencapai kejayaan lebih cemerlang di peringkat yang lebih tinggi daripada Sukan SEA, iaitu di Sukan Olimpik," katanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 memperuntukkan sejumlah RM222 juta melibatkan RM145 juta bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi cabaran Sukan SEA ke-29 dan sukan Para Asean ke-9 pada 2017 di Kuala Lumpur. Selain itu, RM75 juta diperuntukkan bagi melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Podium dan RM22 juta untuk membina Kompleks Sukan Bagan Datoh, Perak dan menaiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang di Kuantan. - Bernama