suria

MotoGP Malaysia: Zulfahmi Sasar Podium, Hafizh Buntu

Zulfahmi Khairuddin
SEPANG: Meraih kedudukan kesepuluh dalam aksi kelayakan Moto3 Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) telah memberikan semangat baharu buat pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin untuk meraih podium.


Pelumba Drive M7 SIC itu berjaya menunjukkan peningkatan dari segi catatan masa dua minit 13.280 saat pada pusingan ketujuh daripada 13 pusingan yang dilakukan dalam aksi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu.

"Jarak masa saya dengan 10 pelumba hadapan tidak terlalu jauh, bagi saya pada perlumbaan esok (Ahad) semua pelumba di hadapan mempunyai peluang untuk podium.

“Hari ini saya menggunakan tayar kompaun lembut yang sangat membantu jentera bergerak lebih laju.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pelarasan motosikal saya di Sepang. Saya hanya perlu nikmati perlumbaan esok dan saya yakin akan menghasilkan keputusan yang terbaik," jelasnya.

Zulfahmi berkata, apa yang penting dia perlu menunjukkan  tunggangan yang lebih  agresif  bagi menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik pada saingan akhir nanti.

Selain itu, seorang lagi pelumba berbakat negara dalam kategori Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah masih buntu dengan prestasi jenteranya dan berharap pasukan Petronas Raceline Malaysia dapat mencari pelarasan terbaik sebelum perlumbaan akhir nanti.

Hafizh Syahrin berkata kemalangan yang dihadapinya ketika beraksi di Litar Philip Island, Australia minggu lepas mempengaruhi aksinya dalam sesi latihan serta pusingan kelayakan hari ini.

Hafizh Syahrin akan bermula pada petak ke-18 pada perlumbaan selepas membuat catatan masa dua minit 08.206 saat pada pusingan kelayakan.

Jelasnya, strategi pelarasan pada tayar pada aksinya petang tadi tidak menjadi kerana keadaan trek basah di beberapa pusingan menghalang beliau untuk pergi lebih laju.

"Strategi menggunakan 'tayar lembut' hari ini tidak menjadi. Saya sedikit tertekan kerana sasaran saya untuk memperbaiki catatan masa di pusingan kelayakan tidak tercapai. Keadaan trek yang beralun juga turut mempengaruhi pelarasan yang telah dibuat oleh pasukan," kata Hafizh.

Sementara itu seorang lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia akan memulakan perlumbaan di petak ke-16 selepas membuat catatan masa 2:07.643s.|

"Hujan di beberapa pusingan dan berjerebu menjejaskan aksi saya di pusingan kelayakan ini...dari segi pelarasan motosikal, pasukan telah menyediakan jentera yang bagus.

“Saya sasar untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok sepuluh terbaik ," kata Azlan Shah.

Moto2, Moto3, MotoGP, GP Malaysia, Zulfahmi, Hafizh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain