KUALA LUMPUR: Atlet elit paralimpik negara, Abdul Latif Romly mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila meraih pingat emas pertama negara pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015 di Doha, Qatar, Sabtu. Atlet berusia 18 tahun itu turut mencipta rekod baharu dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.35m pada percubaan kedua. Rekod kejohanan sebelum ini dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol iaitu 7.19m pada kejohanan yang sama di Christchurch, New Zealand pada 2011. Kejayaan itu turut membolehkan Abdul Latif memperbaiki catatan 7.01m yang dilakukan pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan, tahun lepas. Pingat perak dimenangi Zoran Talic dari Croatia dengan jarak 7.32m manakala pingat gangsa menjadi milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine dengan 7.14m. Khamis lepas, seorang lagi atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih gangsa dalam acara lontar peluru F20 lelaki.-- Bernama