KUALA LUMPUR: Penampilan pertama dalam Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membuahkan hasil kepada Mohamad Saifuddin Ishak, pada Sabtu. Pada acara yang berlangsung di Stadium Suhaim Bin Hamad, Doha, Qatar, atlet elit paralimpik negara berusia 23 tahun itu berjaya meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh T12 lelaki (cacat penglihatan) dengan jarak lompatan 6.94 meter yang dicatat pada percubaan keempat beliau. Pingat emas acara itu dimenangi Kamil Aliyev dari Azerbaijan dengan jarak lompatan 7.13 meter, manakala pingat perak milik Chen Mingyu dari China dengan 7.07 meter. Kejayaan Mohd Saifuddin itu sekali gus memperbaiki pencapaian pingat emas Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas dengan jarak 6.84 meter. Terdahulu, Malaysia meraih pingat emas pertama pada edisi kejohanan kali ini melalui Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh F20 lelaki (masalah pembelajaran - ID). Atlet berusia 18 tahun itu turut mencipta rekod baharu kejohanan dengan jarak 7.35 meter.-- Bernama