SEPANG: Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2015 mencatat sejarah tersendiri dengan rekod kedatangan penonton ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) melebihi sasaran yang dibuat. Malah lebih membanggakan catatan 150,563 pengunjung bagi tiga hari perlumbaan berlangsung melebihi rekod yang dicatat sepanjang acara ini diadakan setiap tahun. “Saya bersyukur semuanya berjalan lancar walaupun timbul perasaan gusar kerana masalah jerebu. Saya sangat berpuas hati dengan acara perlumbaan kali ke-25 tahun ini. “Jumlah penonton yang datang untuk tiga hari sangat membanggakan dan ia adalah jumlah paling tinggi yang dicatat. Bukan sahaja untuk MotoGP tetapi untuk acara besar lain seperti Formula Satu (F1). “Catatan tertinggi bagi acara F1 ialah 126,000 penonton sebelum ini. “Saya amat berterima kasih kepada semua peminat sukan pemotoran dua roda Malaysia dan luar negara. Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali selepas tamat perlumbaan. Jelas Razlan, sasaran sebenar pada hari perlumbaan (Ahad) ialah 85,000, dan keseluruhan bagi tiga hari adalah 120,000 pengunjung. “Namun saya lihat jumlah peminat bertambah pada Sabtu (45,169) berbanding hari Jumaat (16,562) pengunjung. “Saya yakin tarikan peminat ke sini (SIC) bukan sahaja kerana aksi perlumbaan, tetapi disebabkan pelbagai aktiviti yang diadakan sama ada di tempat awam dan juga karnival yang dianjurkan. “Kami juga turut membuka satu lagi ‘Hillstand’ baharu yang dikenali sebagai MetaGP dan di sana terdapat pelbagai acara termasuk konsert, pameran makanan, aktiviti kanak-kanak dan sebagainya. “Saya akui jumlah pengunjung semakin besar setiap tahun dan seperti yang saya katakan sebelum ini, saya amat berbangga,” ujarnya. Dalam pada itu, Razlan mengulas perlumbaan MotoGP pada Ahad merupakan ‘Race of Decade’. “Persaingan sengit di antara Jorge Lorenzo, Valentino Rossi dan Marc Marquez dipanggil ‘Race of Century’ ketika di Melbourne sebelum ini, tetapi ia mungkin dikenali gelaran lain di Malaysia. “Betapa menariknya perlumbaan kali ini, malah pihak penaja, Shell juga turut berpuas hati selain pelumba-pelumba sendiri seakan tidak percaya aksi kali ini amat menarik. Ia akan terus disebut-sebut,” tambahnya. Perlumbaan MotoGP pada Ahad menyaksikan pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa merangkul trofi kejuaraan, manakala pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi yang dikatakan akan merakam rekod kejuaraan dunia di sini jika bergelar juara namun hanya berada di tempat ketiga, di belakang rakan sepasukannya, Jorge Lorenzo. Sebelum itu, berlaku insiden himpit-menghimpit di antara dua pelumba, sehingga Rossi terpaksa menolak Marquez sehingga terbabas dan terkeluar daripada perlumbaan. Gara-gara tindakan tersebut, Rossi dikenakan penalti dan bermula di petak akhir pada perlumbaan pusingan akhir di Valencia pada 7-9 November ini.