KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki utama Malaysia, Mohd Nafiizwan Adnan berjaya merangkul kejuaraan sulung pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2015, selepas dikecewakan dalam dua edisi sebelum ini. Pada perlawanan akhir berlangsung di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini, pemain pilihan utama kejohanan itu menewaskan pilihan 3/4, Muhammad Asyraf Azan 11-3, 11-6 dan 11-7. Berikutan kejayaannya itu, Mohd Nafiizwan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi, manakala Muhammad Asyraf meraih RM7,000 dan trofi selaku naib juara. Mohd Nafiizwan berkata beliau begitu gembira kerana berjaya meraih gelaran sulung pada kejohanan kebangsaan itu, selepas dua kali berturut-turut tewas kepada bekas pemain negara, Ong Beng Hee pada edisi 2012 dan 2013. Pemain berasal dari Kuala Terengganu berusia 29 tahun itu, yang berpangkalan di Manchester, England, berkata kejayaan itu sudah tentu menjadi pembakar semangat baginya meraih keputusan lebih baik pada Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia di Washington, Amerika Syarikat dari 13 hingga 22 November ini. "Meraih kemenangan pertama pada kejohanan ini amat bermakna bagi saya, dan berharap kejayaan ini akan mendorong saya mencatat keputusan lebih baik pada Kejohanan Dunia minggu depan," kata Mohd Nafiizwan. Sementara itu, pemain nombor 15 dunia, Delia Arnold meraih gelaran sulung pada kejohanan kebangsaan itu selepas menumpaskan pilihan kedua, yang juga juara bertahan, Low Wee Wern 11-6, 11-5 dan 11-5 dalam kategori wanita. Delia meraih RM8,000 dan trofi atas pencapaiannya itu, manakala Wee Wern, juara kebangsaan 2012 dan 2014, membawa pulang wang tunai RM4,000 dan trofi. Delia mengakui ia bukan satu tugas mudah berdepan Wee Wern, yang kini bergelut dengan kecederaan lutut, sambil berkata beliau terpaksa menggandakan usaha untuk menewaskan lawannya itu. Pemain berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur itu, berharap kejayaan itu akan memberi suntikan semangat kepadanya bagi menghadapi dua kejohanan akan datang - Terbuka Hong Kong dari 26 November-6 Disember dan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di sini, dari 11 hingga 16 Disember. "Saya begitu gembira memenangi kejohanan ini buat pertama kali dan berharap kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat bagi saya melakukan yang terbaik terutama pada Terbuka Hong Kong," kata Delia, yang menyasarkan berada dalam kelompok 10 teratas dalam Ranking Dunia menjelang hujung tahun ini. Dalam pada itu, Wee Wern tetap berpuas hati dengan prestasinya pada kejohanan kompetitif pertama beliau itu, sejak kembali beraksi selepas berehat selama tujuh bulan akibat kecederaan lutut. Pemain Pulau Pinang berusia 25 tahun itu, berharap beliau akan kembali berada di prestasi terbaik pada Terbuka Hong Kong yang merupakan kejohanan antarabangsa pertama beliau selepas mengalami kecederaan lutut, sejak April lepas. "Secara jujur, sejak mula lagi saya tahu saya tidak akan berpeluang mempertahankan gelaran pada kejohanan ini, tetapi ia baik bagi saya untuk kembali beraksi," kata Wee Wern, yang mengharapkan agar kecederaan dialaminya itu, akan sembuh sepenuhnya pada Januari tahun depan. Pemenang bersama tempat ketiga/keempat dalam kategori lelaki meraih RM3,000 setiap seorang, manakala RM1,500 bagi acara wanita.