suria

Chong Wei Juara Terbuka China, Tundukkan Pemain No. 1 Dunia

Datuk Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul gelaran sulung Terbuka China selepas mengalahkan pilihan utama Chen Long pada final di Pusat Sukan Olimpik Haixia di Fuzhou, China, Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia itu menamatkan kemarau 13 tahun untuk pemain perseorangan lelaki negara merangkul gelaran itu selepas Wong Choong Hann pada 2002.

Chong Wei mula mengorak langkah ke final dengan menundukkan pemain nombor dua dunia, Jan O Jorgensen dari Denmark di peringkat suku akhir diikuti musuh tradisinya Lin Dan dari China, yang juga pemain nombor tiga dunia, di separuh akhir.

Chong Wei mengekalkan momentum kejayaan apabila hanya mengambil masa 50 minit untuk mengecewakan Chen Long, selaku pemain nombor satu dunia dari China, dalam straight set 21-15 dan 21-11. Beliau kekal di ranking kesembilan dunia.

Satu-satunya beregu Malaysia yang pernah memenangi gelaran di China adalah pasangan adik-beradik Razif dan Jalani Sidek pada tahun 1989.

Pencapaian itu sekali gus melunaskan dendam terhadap Chen Long yang menafikan impian Chong Wei untuk meraih gelaran dunia sulung pada final Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos lepas. 

Jurulatih negara Tey Seu Bock berkata, Chong Wei bermain dengan betul mengikut perancangan.

"Serangan dan pertahanannya adalah kemas. Semuanya berjalan dengan baik. Saya amat gembira bagi pihaknya," kata Seu Bock, lapor The Star Online.

"Chong Wei sudah pasti kembali di tahap terbaik setelah melalui masa yang tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

"Ini akan meningkatkan konsentrasinya menjelang Sukan Olimpik di Rio tahun depan."

April lalu, Chong Wei dijatuhi hukuman gantung daripada beraksi selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bermula 30 Ogos 2014. Penggantungannya telah berakhir pada 30 April 2015.

Keputusan panel BWF ini teliti dan jelas mendapati penemuan Dexamethasone dalam badan Chong Wei.

Chong Wei membuat penampilan pertamanya pada kejohanan Piala Sudirman di Dongguan, China pada 10-17 Mei lalu.

Selepas penggantungannya, Chong Wei juga menyertai beberapa kejohanan dunia termasuklah Terbuka Denmark, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun serta meraih gelaran juara pada Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Perancis Oktober lalu.

Kejuarannya yang terkini di Terbuka China adalah yang kedua dalam Siri Super dan yang keempat dalam musim ini.

Atas kejayaan itu, Chong Wei, 32, membawa pulang hadiah wang tunai US$52,500 (RM230,474) manakala Chen Long, selaku naib juara, meraih wang tunai US$26,600 (RM115,774).


Artikel Lain