SAO PAOLO: Kebiasaannya, sesiapa saja pasti tidak akan menolak jersi pemberian mana-mana bintang bola sepak dunia. Apalagi jika jersi tersebut dihulurkan sendiri oleh bintang bola sepak Brazil, Neymar. Sudah pasti, ramai sanggup berebut untuk mendapatkannya. Namun berbeza sekali dengan pengadil dari Colombia, Jose Hernando Buitrago. Selepas berakhirnya perlawanan Brazil menentang Peru di sini, pada Selasa, pengadil berusia 45 tahun itu antara yang bertuah kerana menerima baju daripada Neymar. Namun Buitrago bertindak menolak pemberian bintang Barcelona itu. Neymar beraksi selama 90 minit dalam perlawanan tersebut dan dilayangkan satu kad kuning pada babak pertama. Kapten Brazil itu menghampiri Buitrago dan pembantu pengadil sebelum memberikan bajunya. Namun pengadil itu kekal profesional apabila sekadar menggeleng kepala dan meletakkan kedua-dua tangannya di belakang. Neymar bagaimanapun sekadar tersenyum dan berlalu pergi. Pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama Barcelona musim ini dengan menjaringkan 13 gol menerusi 14 perlawanan.