ALOR SETAR: Lagenda emas sepak takraw negara Abdul Jalil Aziz, 66, meninggal dunia akibat pendarahan pada usus di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini awal pagi Isnin. Allahyarham meninggal kira-kira pukul 6.30 pagi selepas dimasukan ke hospital pada 14 November lepas akibat masalah buah pinggang dan ketumbuhan hati. Isteri Allahyarham, Nahariah Man, 65, berkata keadaan suaminya kritikal sejak seminggu lepas disebabkan pendarahan pada usus. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Terus selepas solat zohor," katanya di rumahnya di Taman Sri Ampangan, Jalan Tunku Abdul Rahman. Beliau berkata rakan-rakan bekas atlet dan kepimpinan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut menziarah jenazah Allahyarham dan memberi bantuan. Jenazah Abdul JalilAziz dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Terus pada Isnin. -fotoBERNAMA "Saya ucapkan terima kasih kepada YAKEB yang tidak pernah melupakan jasa bekas atlet kebangsaan. Kami sekeluarga menghargai keprihatinan dan sumbangan mereka terhadap Allahyarham," katanya. Abdul Jalil bersara dari sukan sepak takraw pada 1981 dan berkerja sebagai juruteknik kanan di Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah. Nahariah berkata suaminya pernah melahirkan rasa kecewa amat sangat dengan prestasi sukan sepak takraw negara yang gagal cemerlang seperti dahulu. "Saya pernah minta dia jadi jurulatih tetapi dia enggan kerana katanya bakat atlet tidak lagi dicungkil dari kampung," katanya. Allahyarham yang berasal dari Negeri Sembilan mula terpilih untuk mewakili negara pada tahun 1970 dalam Pesta Sukan Singapura di mana pasukannya memenangi pingat emas dan terus melakar kejayaan pada 1972, 1974 dan 1976. Pasukannya turut melakar sejarah dengan merangkul pingat emas pada Sukan Asia Tenggara (SEAP) pada 1971 di Kuala Lumpur, di Singapura pada 1973, di Bangkok pada tahun 1975 dan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977. Abdul Jalil yang mewakili pasukan kebangsaan pada tahun 1980 membantu negara memenangi pingat emas pada tahun 1980 dalam Kejohanan Asia di Kuala Lumpur. Allahyarham menerima anugerah Olahragawan MAYC Malaysia Piala Pusingan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien pada 1976 dan Olahragawan Negeri Sembilan pada 1975. Beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 1975 dan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2004.