SINGAPURA: Pemanah paralimpik negara, Hasihin Sanawi yang dahagakan kejayaan di peringkat antarabangsa, tekad membawa pulang sebutir pingat pada Sukan Para ASEAN (APG) Kelapan, di sini. Pemenang pingat perak acara recurve individu lelaki W1/W2 (berkerusi roda) di Sukan Paralimpik London 2012 itu, berkata beliau telah berusaha keras untuk menamatkan kemarau pingat dalam acara individu. "Selepas Sukan Paralimpik 2012, prestasi saya jatuh mendadak dan saya tidak memenangi pingat pada dua edisi temasya itu yang lepas. Prestasi saya menurun mungkin kerana bertukar jurulatih selepas Sukan Paralimpik itu. "Saingan kali ini agak sukar kerana kategori kerusi roda dan berdiri digabungkan. Apapun saya akan cuba meraih pingat," kata atlet berusia 32 tahun itu kepada Bernama, ketika ditemui pada sesi latihan pasukan memanah paralimpik kebangsaan di Padang Kriket Kallang, di sini, Rabu. Selepas kejayaan memenangi pingat perak di London tiga tahun lepas, Hasihin gagal mencatat sebarang kejayaan membanggakan, kecuali meraih perak di Kejohanan Para-Memanah Jemputan Antarabangsa ke-10 di Stoke Mandeville, London pada 2013. Beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara berpasukan di dua edisi APG sebelum ini, selepas gagal memenangi sebarang pingat dalam acara individu. Kontraktor pembinaan yang patah tulang belakang selepas jatuh dari atap bangunan 10 tahun lepas itu, turut berharap untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. "Saya terlepas peluang layak ke Rio sebanyak dua kali, iaitu di Kejohanan Dunia di Jerman dan Bangkok, dua minggu lepas. Di Jerman, saya kalah di pusingan ketiga, kalau menang pusingan itu, saya sudah layak," katanya. Sementara itu, pemenang pingat emas edisi 2011 di Solo, Indonesia, Yuhaizam Yahaya, 44, berazam menyapu bersih pingat emas dalam kategori individu dan berpasukan acara compound. "Kami sudah bersedia dan akan melakukan yang terbaik," kata anggota tentera itu. Pengurus pasukan memanah Malaysia, M. Puvaneswaran berkata, pasukan itu meletakkan sasaran meraih dua pingat emas pada temasya kali ini. Untuk rekod, pasukan memanah paralimpik Malaysia memenangi dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa pada APG di Naypyitaw, Myanmar, Januari tahun lepas. "Saya berharap lebih ramai akan menceburkan diri dalam sukan memanah. Misalnya pada temasya di sini, tujuh pingat emas ditawarkan dalam acara memanah tetapi kita hanya sertai empat acara kerana kekurangan pemanah wanita," katanya. Acara memanah dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 Disember di Padang Kriket Kallang. - Bernama