PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menafikan spekulasi beliau akan menggantikan penjaga gol, Simon Mignolet. Sebelum perpindahannya ke Anfield, Klopp pernah dikaitkan dengan beberapa penjaga gol termasuk Jack Butland yang bersama pasukan Stoke. Bagaimanapun terkini Klopp berkata: "Saya berpuas hati dengan penjaga gol ketika ini. "Maaf, kami tidak berhasrat menggantikannya dengan penjaga gol baharu." Pemain dari Belgium berusia 27 tahun itu pernah diketepikan bekas pengurus Brendan Rodgers musim lalu tetapi setakat ini masih mampu menampilkan prestasi baik musim ini. "Saya ada ramai penjaga gol sejak beberapa tahun lalu dan dia adalah antara yang paling bijak. "Dia sentiasa terbuka dan masih muda untuk memperbaiki mutu permainannya, tiada apa yang perlu dikritik," tambah Klopp pada Rabu. Sementara itu, bekas kapten Liverpool, Steven Gerrad kini menjalani latihan dengan kelab itu sebelum kembali bersama LA Galaxy pada Januari ini. Walaupun tidak beraksi bersama pasukan lamanya, Gerrard bersama Liverpool hanya semasa sesi latihan kerana bagi Kloop ia memberi impak yang baik untuk setiap anggota pasukan itu. "Jika anda bersikap seperti dia, mudah untuk diterima sesiapa sahaja kerana dia penting bagi kelab ini termasuk pada sesi latihan," katanya.