suria

Senarai Atlet Program Podium Diketahui Februari Ini

Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Senarai nama atlet yang akan diserapkan ke dalam Program Podium akan diketahui Februari ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata para atlet telah diberikan kontrak bagi mengikuti program berkenaan yang dikelolakan di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dan mereka kini berada dalam proses menandatangani kontrak tersebut.

"Kelewatan untuk kita mulakan program ini adalah disebabkan ia banyak melibatkan proses penelitian kontrak yang bersabit dengan perundangan. Kita kena pastikan mereka setuju dengan syarat yang ditetapkan.

"Lagi pun ia terpaksa ditangguh disebabkan oleh kelewatan maklum balas daripada persatuan sukan kebangsaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) di Dewan Podium, Kementerian Belia dan Sukan, Selasa.

Khairy berkata pihaknya kini bagaimanapun berada di dalam proses memuktamadkan senarai atlet dan jurulatih bagi melaksanakan program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan.

Penyenaraian nama atlet dalam Program Podium bukan sahaja terhad di peringkat Sukan SEA sahaja, tetapi turut melibatkan Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai status kesahihan rekod kebangsaan pelari muda, Badrul Hisham Abdul Manap, Khairy berkata keputusan adalah bergantung kepada pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah kemukakan kepada KOM segala maklumat mengenai keputusan Badrul. Perincian maklumat sudah ada, KOM sudah boleh buat keputusan," katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan KOM masih menunggu laporan Persatuan Olahraga Brunei (BAA) mengenai keputusan acara 100 meter Sukan Sekolah ASEAN (ASG) sebelum menentukan kesahihan rekod kebangsaan milik Badrul Hisham itu.

Media elektronik tempatan mendakwa rekod kebangsaan Badrul Hisham dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Antara yang tidak dipatuhi adalah alat pengukur angin yang tidak diletakkan  di garisan 50m selain ketiadaan bukti "foto penamat" - dua aspek yang wajib ada untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

Badrul Hisham mencipta sejarah apabila memecah rekod kebangsaan 100m di kejohanan itu menerusi catatan 10.29 saat, sekali gus memadam rekod 10.30s yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun. - BERNAMA

LTdL, Khairy Jamaluddin, ISN

Artikel Lain