suria

TRW Masih Cari Pemain Import Berkualiti

K Devan.

KOTA BARU: The Red Warriors (TRW) masih mencari pemain import berkualiti bagi mengisi tiga kuota pemain berkenaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih TRW, K Devan berkata setakat ini, lapan pemain import telah diuji, namun tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

"Saya masih tidak berpuas hati dengan pemain import yang diuji pada perlawanan malam ini. Mereka masih tidak menampakkan sesuatu yang istimewa sebagai pemain import," katanya selepas perlawanan persahabatan antara Kelantan menentang AirAsia FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Jumaat malam.

Pada perlawanan tersebut, TRW menguji empat pemain import baharu - Andre Luiz Araujo (Brazil), Brimo Patito (Nigeria), Marko Perovic (Serbia) dan Lee Gil Hoon (Korea Selatan).

Devan berkata, pemain import terbabit akan diberi sedikit masa lagi untuk mempamerkan prestasi sebenar dan sekiranya tidak memuaskan, pihaknya akan mencari pemain import lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kafa memberi tempoh seminggu kepada Devan memilih pemain import yang serasi dengan corak permainan pasukan Kelantan.

"Apa pun kita berikan tempoh sehingga 15 Jan untuk K Devan memilih pemain import yang secocok dengan corak permainan Kelantan.

"Usaha memperkasa pasukan, kita teruskan di dalam dan di luar padang, InsyaAllah," katanya dalam entri terbaharu laman sosial Facebooknya. - Bernama

The Red Warriors, K Devan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain