LONDON: Kapten Wayne Rooney tampil wira apabila menyumbat gol pada waktu kecederaan untuk menyelamatkan Manchester United pada perlawanan menentang Sheffield United awal pagi Ahad. Jaringan penalti diperoleh selepas pasukan itu bekerja keras sebelum menundukkan pasukan divisyen ketiga itu tipis 1-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA. Sebelum itu, United bagaikan ditakdir mengharungi aksi ulangan sebelum Rooney menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas pemain gantian Memphis Depay dikasari dalam kota penalti di Old Trafford. Ia hanya percubaan kedua United yang menemui sasaran sepanjang 90 minit permainan, ketika menentang pasukan 47 anak tangga di bawah mereka, tetapi pengurus Louis van Gaal tidak khuatir dengan persembahan biasa yang dipamerkan anak buahnya itu. Mereka memerlukan 69 minit untuk membuat percubaan pertama yang menemui sasaran apabila Matteo Darmian menyepak terus ke dakapan George Long, dan mereka tidak lagi mengancam gawang yang dikawal penjaga gol itu sebelum tindakan Dean Hammond melakukan terjahan keras ke Depay pada masa tambahan. Namun Rooney tidak membuat kesilapan untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.