KUALA LUMPUR: Status pelari pecut negara, Badrul Hisham Abdul Manap mengenai kesahihan rekod kebangsaan 100 meter yang dicatat pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN (ASG) pada Disember lalu masih tergantung. Pun begitu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menganggap Badrul Hisham adalah pelari pecut terpantas setakat ini. “Kami terima masa yang dicatat oleh Badrul. Dan setakat ini dia adalah pelari terpantas negara. Cuma ia tidak diiktiraf secara rasmi kerana keputusan rekod ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis KOM. “Jadi rekod 100 meter masih dipegang oleh Watson Nyambek setakat ini,” jelasnya selepas mesyuarat Jawatankuasa KOM pada Isnin. Tambah Karim status kesahihan rekod ini belum dibuat kerana pihaknya masih menunggu laporan lengkap teknikal daripada Persatuan Olahraga Brunei (BAA). “Brunei tak nak bagi kerjasama sehingga kini. Saya sudah hantar surat pada 3 Disember lalu kepada Brunei. Saya sudah tanya banyak kali, mereka minta surat rasmi dan sehingga sekarang mereka belum memberi jawapan. “Walaupun Brunei sudah mengaku salah tentang catatan rekod itu, tetapi kita mahu laporan teknikal. Bukan kita tak nak terima surat pengakuan itu, tetapi kita perlu adil dengan pemegang rekod sebelum ini,” katanya yang menafikan KOM sengaja melambatkan keputusan status rekod Badrol Hisham. Badrul Hisham mencipta sejarah apabila memecah rekod 100 meter dengan mencatat masa terpantas 10.29 saat, sekali gus memadam rekod 10.30s yang dipegang Watson selama 17 tahun. Namun rekod tersebut dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) seperti alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50 meter dan 'photo finish'. Malangnya, pihak penganjur gagal mematuhi dua syarat penting itu bagi membuat pengiktirafan.