GOL penalti Harry Kane menyelamatkan Tottenham Hotspur dalam saingan pusingan ketiga Piala FA ketika menentang Leicester City pada awal pagi Isnin. Gol minit akhir Kane berjaya mengelakkan pasukannya tewas di White Hart Lane. Dalam perlawanan itu, Tottenham menguasai permainan lebih banyak berbanding Leicester dengan 73 peratus penguasaan bola. Tottenham mengungguli perlawanan dengan gol pembukaan menerusi aksi Christian Eriksen pada minit ke-8. Bagaimanapun, Leicester mampu membuat serangan balas melalui Marcin Wasilewski dan Shinji Okazaki, masing-masing pada minit ke-19 dan 48. Tottenham yang ketinggal sejak awal babak kedua mula mengepung pertahanan Leicester. Walaupun beberapa kali meraih peluang keemasan, tetapi percubaan itu digagalkan oleh penjaga gol lawan, Kasper Schmeichel. Hanya pada minit ke-89, Tottenham berjaya mendapatkan peluang menyamakan kedudukan apabila pemain Leicester, Nathan Dyer menyentuh bola dalam kotak penalti ketika bersaing dengan Danny Rose. Jaringan penalti oleh Kane dilakukan dengan baik dan kedudukan berimbang 2-2 sehingga tamat permainan. Keputusan seri itu membuatkan Tottenham dan Leicester perlu bertemu sekali lagi di Stadium King Power dalam menentukan kedudukan dalam saingan.