PETALING JAYA: Pelumba motosikal negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bakal menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan selepas enam tahun bercinta. Bekas pelumba MotoGP kategori Moto2 dan Moto3 kelahiran Banting ini mengakui dirinya sudah bersedia untuk menempuh kehidupan baharu bersama bakal isterinya, Nuruldina Talhis. "Saya mengenali bakal isteri selepas tamat persekolahan enam tahun lalu. "Pada mulanya kami hanya berkawan dan lama-kelamaan hubungan semakin rapat. Malah kedua-dua keluarga juga merestui perhubungan kami," jelasnya kepada mStar Online. Jelas Zulfahmi, gadis pilihannya bertugas sebagai guru di Banting dan faktor utama perhubungan ini bertahan sehingga kini adalah sikap saling memahami antara keduanya. "Dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya sebagai pelumba profesional. Walaupun bergelar suami, saya akan terus berlumba selepas ini kerana ia minat saya. "Sepanjang perkenalan ini, dia banyak memberi sokongan kepada saya walaupun tidak secara langsung. "Hanya pesan berhati-hati dan bukannya 'jangan tunggang laju-laju'," jelasnya sambil ketawa dan berazam untuk memperbaiki prestasi selepas impian untuk mendirikan rumah tangga menjadi kenyataan. Zulfahmi bakal melangsungkan majlis pernikahan di kediamannnya di Kampung Bukit Changgang, Banting pada 24 Januari ini. Selain bakal menempuhi fasa kehidupan baharu bergelar suami, Zulfahmi juga akan mengharungi musim perlumbaan berbeza tahun ini. Pelumba berusia 25 tahun ini tidak lagi bersaing dalam aksi Moto3 seperti musim lalu bersama pasukan Drive M7 SIC, sebaliknya bakal berlumba dalam saingan lebih sengit pada Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) buat julung kalinya. "Semuanya baharu musim ini dan saya berterima kasih kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang terus menyokong dan memberi peluang untuk saya terus berlumba dengan pasukan mereka," tambahnya.