PETALING JAYA: Isteri kepada jaguh bina badan negara, Hashrine Hashim menganggap kontroversi yang melanda suaminya, Sazali Samad berikutan kegagalan ujian doping baru-baru ini sebagai ujian kepada seluruh keluarganya. Hashrine turut mengakui terdapat hikmah di sebalik apa yang berlaku kepada juara Mr Universe sebanyak sepuluh kali itu. Sebagai orang yang paling dekat dengan Sazali, Hashrine lebih tahu apa yang berlalu, lebih-lebih lagi dia juga merupakan pegurus peribadi atlet berusia 48 tahun itu. "Apa yang berlaku ini adalah di luar dugaan dan tidak pernah terlintas Sazali akan berdepan dengan situasi ini kerana saya tahu dia adalah orang yang paling teliti dalam penjagaan dirinya. "Sejauh mana kita berhati-hati, mesti ada juga kesilapan yang berlaku. Dan kami terima hakikat ini sebaik mungkin. Biarlah ia yang pertama dan terakhir terjadi kepada Sazali. Saya juga bersyukur kerana anak-anak memahami apa yang berlaku kepada bapa mereka dan tidak berdepan dengan sebarang tekanan dari segi kehidupan sosial," jelasnya ketika dihubungi mStar Online. Menurut Hashrine, sokongan pelbagai pihak juga membuatkan Sazali tenang berdepan dengan hukuman empat tahun yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September lalu. "Saya tengok dia semakin 'bersayap' sekarang. Sejak isu ini timbul, dia tidak pernah tinggalkan gimnasium. Mungkin itu caranya dia menghilangkan tekanan. "Paling jelas semangatnya untuk terus beraksi di pentas bina badan tidak pernah goyang. Ada beberapa rutin hariannya turut berubah yang dianggap lebih positif. Cuma saya harapkan keputusan rayuan terhadap tempoh penggantungan dapat diketahui dalam tempoh yang singkat. "Kami perlu bersedia dengan 'back up plan' berdasarkan apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh pihak persekutuan. Biarlah rekodnya menjadi rujukan dalam setiap keputusan itu nanti ," jelasnya. Sebagai rekod, Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali, iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014). Manakala Sazali merakam sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.