suria

Vida Tinjau Old Trafford Bulan Depan

PETALING JAYA: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan ke United Kingdom pada 25 Februari depan untuk melihat dengan lebih dekat reka bentuk dalaman Stadium Old Trafford milik pasukan idolanya, Manchester United.

Usahawan yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida itu berkata, kunjungan tersebut bertujuan mendapatkan beberapa idea berkaitan reka bentuk dalaman stadium berkenaan untuk diaplikasikan pada Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan.

"Insya-Allah saya akan ke Manchester pada 25 Februari depan. Semua ini dilakukan demi memperincikan sentuhan terakhir pada wajah baharu Stadium Sultan Muhammad IV yang diharap akan menjadi mercu tanda Kelantan," katanya kepada mStar Online.

Menurut Vida, beliau mendapat inspirasi daripada Stadium Old Trafford, salah sebuah stadium bertaraf dunia dalam aspek pengubahsuaian stadium pink tersebut.

"Konsep stadium ini adalah ilham daripada pasukan Manchester United. Mereka berjaya bukan sahaja kerana kekuatan pasukannya tetapi punyai penyokong yang ramai," katanya.

Usahawan kelahiran Machang itu berkata beliau turut bercadang untuk mewujudkan ruang khas bagi penjualan koleksi The Red Warriors (TRW) dan produk kesihatan serta kecantikan keluaran syarikatnya, Pamoga dan Qu Puteh.

"Mungkin akan wujudkan tempat penjualan seperti yang dilakukan Manchester United. Dengan cara ini, ia dapat menyumbang balik kepada pasukan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai stadium pink tersebut, sentuhan terakhir pada pelan lakaran sebenar akan dimuktamadkan sekembalinya dari England pada hujung Februari ini.

Namun, katanya, draf awal pelan lakaran keseluruhan stadium akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada Jumaat ini, semasa majlis menandatangani perjanjian penajaan diadakan secara rasmi.

"Pereka bentuk saya sedang siapkan pelan lakaran. Ia hampir siap, Insya-Allah, Jumaat ini, saya akan serahkan draf awal pelan tersebut.

“Namun sentuhan terakhir akan dimuktamadkan selepas pulang dari England hujung bulan depan. Saya akan tambah apa yang sesuai hasil lawatan ke Stadium Old Trafford," katanya.

Vida berkata, Kafa akan menyerahkan pelan lakaran itu kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bagi membolehkan kerja pengubahsuaian stadium dilakukan.

"Sebagai permulaan, kerja mengecat bahagian luar dan dalam stadium akan dilakukan terlebih dahulu, mungkin ambil tempoh dua bulan. Selepas itu baharulah pengubahsuaian di bahagian dalam kerana banyak perubahan perlu dilakukan," katanya.

Terdahulu, Vida bercadang mewujudkan laluan dan tempat duduk khas untuk wanita dan keluarga selain hamparan karpet merah jambu di stadium tersebut.

Difahamkan Vida memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk tujuan pengubahsuaian dan baik pulih stadium tersebut.

Pada Isnin lalu, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu. 





Datuk Vida, Kafa, The Red Warriors

Artikel Berikut

Keputusan Copa del Rey

Artikel Lain