suria

Pemilihan Khas Ke Piala Thomas Sudah Tidak Relevan

Mohamad Arif Abdul Latif

GENTING HIGHLANDS: Pemain profesional negara, Mohamad Arif Abdul Latif menyifatkan sesi pemilihan khas yang diadakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memilih pemain terbaik ke saingan Piala Thomas sebagai sudah tidak relevan.

Sambil menyokong pandangan disuarakan pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli sebelum ini, Mohamad Arif menegaskan sudah tiba masanya badan induk itu menjadikan prestasi semasa seseorang pemain pada kejohanan antarabangsa selain ranking dunia sebagai medan pemilihan pemain ke kejohanan berprestij berpasukan itu.

"Kalau ujian kecergasan sebanyak dua kali di Institut Sukan Negara (ISN) itu, saya boleh terimalah tapi kalau untuk pemilihan, lebih baik BAM tengok pencapaian seseorang pemain itu di kejohanan antarabangsa.

"Sekiranya kita beraksi dengan rakan sepelatih, kita tidak dapat mengukur kemampuan pemain luar yang bakal kita hadapi pada Piala Thomas berbanding penyertaan pada kejohanan di luar negara," jelas Mohamad Arif yang juga pemain kelab badminton Cheras (Cheras BC).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting di Arena of Stars, di sini, Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Zulfadli menyokong cadangan yang pernah disuarakan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen untuk tidak mengadakan sesi pemilihan khas ke Piala Thomas 2016 sebaliknya melihat prestasi semasa serta ranking seseorang pemain sebagai medan pemilihan ke kejohanan tersebut.

Mengakui agak kecewa selepas dipinggirkan ke skuad utama Piala Thomas sebanyak dua kali iaitu 2008 dan 2010, Mohamad Arif menjelaskan sudah tiba masanya untuk beliau membuktikan bahawa dirinya masih mampu menyumbang sesuatu kepada skuad negara.

Beliau mendakwa pada edisi 2008 di Indonesia, beliau hanya diberikan peluang beraksi pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Vietnam manakala pada 2010 di Kuala Lumpur, beliau diletakkan selaku pemain simpanan.

"Saya pun berhajat untuk mewakili negara dalam Piala Thomas, siapa yang tidak mahukan, tapi saya perlu buktikan sesuatu pada BAM untuk ambil saya dengan alasan yang kukuh," katanya yang akan mengintai tempat dalam skuad utama Piala Thomas menerusi Kejohanan Grand Prix Emas Malaysia Masters dari 19 hingga 24 Jan ini di Pulau Pinang.

Konfederasi Badminton Asia (BAC) pada Khamis mengesahkan Malaysia merupakan antara 14 negara yang mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Hyderabad, India, bulan depan yang menjadi medan kelayakan pasukan bertanding memburu tiket ke pusingan akhir Piala Thomas di China, Mei ini.

Malaysia perlu meraih kedudukan kelompok enam pasukan terbaik pada kejohanan berkenaan memandangkan China dan Jepun yang menyertai BATC sudah mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Thomas, masing-masing atas kapasiti selaku tuan rumah dan juara bertahan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain