PETALING JAYA: Segala teka-teki mengenai 33 syarat tambahan yang dikemukakan pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan terungkai, petang Jumaat ini. Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida akan memeterai kontrak perjanjian penajaan pasukan The Res Warriors (TRW) secara rasmi kira-kira pukul 3 petang. Majlis tersebut akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang menyaksikan kedua-dua pihak menjalin kerjasama selama dua tahun. Difahamkan, pihak pengurusan tertinggi Kafa dan semua pemain TRW akan berarak dari dalam Bangunan Mara menuju ke lokasi kontrak dimeterai. Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengetuai perarakan tersebut. Menurut Vida, butiran terperinci mengenai kontrak penajaan dan 33 syarat tambahan yang dikemukakan seminggu lalu akan dimaklumkan kepada media. "Apa sahaja berkaitan dengan kontrak tajaan akan terungkai petang ini. Saya harap selepas ini isu berkaitan nilai tajaan tidak lagi disensasikan," katanya. Kontrak tajaan tersebut dilaporkan bernilai RM8 juta semusim. Pada Jumaat lalu, Vida dan Kafa mencapai kata sepakat mengenai kontrak perjanjian penajaan itu. Selain bersetuju dengan dua syarat awal Vida, Annuar berkata badan bola sepak negeri itu turut menerima 33 syarat tambahan baharu yang dikemukakan usahawan wanita tersebut. Dua syarat awal itu adalah Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, Kelantan akan dicat dengan warna merah jambu manakala nama pasukan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.