KUALA LUMPUR: Konsert Mega Gegar Vaganza yang membuka tirainya di Istana Budaya pada Jumaat malam lebih istimewa apabila penaja rasminya membuat kejutan dengan menampilkan pemain The Red Warriors (TRW). Panggung Sari, Istana Budaya gamat apabila lapan pemain yang hadir diperkenalkan oleh pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman di pentas sebaik penyanyi Zul Handy Black membuat persembahan. Antara pemain yang hadir ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Nor Farhan Muhammad, Mohd Badhri Mohd Radzi, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria. "Tuan-tuan dan puan-puan, di sini saya perkenalkan pemain bola sepak yang bakal dikenali sebagai pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW)," kata Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida sambil disambut dengan tepukan gemuruh penonton. Vida bersama Annuar dan barisan pemain The Red Warriors. Aksi Vida bersama pemain mempromosikan Pamoga Qu Puteh mencuit hati apabila masing-masing membuat gaya trademark "Qu Puteh Qu Puteh Barulah Puteh". Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa turut hadir pada konsert berkenaan. Vida berkata, beliau menjemput pihak pengurusan tertinggi Kafa dan semua pemain pasukan tersebut untuk sama-sama menyaksikan konsert yang julung kali diadakan itu. Tambahnya, jemputan ke konsert tersebut bagi meraikan penajaan rasminya terhadap TRW yang dimuktamadkan pada petang Jumaat. "Selepas kontrak perjanjian tajaan dimeterai, saya belanja semua pemain dan pihak pengurusan Kafa menyaksikan Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya. "Apa yang saya cuba tampilkan pada malam ini adalah gabungan dua tajaan yang dekat di hati saya untuk memastikan kejayaan dan pengembangan jenama dan produk Qu Puteh. "Ia juga antara sokongan dan galakan saya kepada pasukan The Red Warriors untuk bermain dengan cemerlang pada musim ini dan akan datang," ujar Vida kepada mStar Online. Vida adalah penaja rasmi untuk konsert tersebut yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini. Segmen pengenalan itu turut diselang-selikan dengan gurauan dan jenaka oleh dua pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Vida turut berseloroh apabila cuba 'memancing' Zul Handy Black, Nabil dan Jihan untuk sama-sama menyokong pasukan TRW. Sementara itu, pemain TRW, Khairul Fahmi ketika ditemui mStar Online berkata, jemputan Vida sememangnya tidak disangka namun ia membuatnya teruja dan terhibur. "Persembahan konsert memang terbaik. Menyaksikan Konsert Mega Gegar Vaganza seperti 'release tension' buat kami. Terima kasih Datuk Vida di atas peluang dan sokongan ini," katanya yang lebih dikenali sebagai Apek. Penyerang Nor Farhan pula berkata, usaha Vida itu menyuntik semangat beliau bersama rakan sepasukan untuk beraksi dengan lebih hebat. "Kepada Datuk Vida, selain menghargai di atas tajaan pasukan kami, jemputan ke konsert malam ini juga menyuntik semangat kami untuk tampil cemerlang sebagai pasukan kebanggaan semua. Kami akan buktikan," kata Nor Farhan yang terkenal dengan jolokan 'Ben 10'. Vida memeterai kontrak perjanjian penajaan bersama Kafa pada petang Jumaat, menyaksikan beliau sebagai penaja utama TRW selama dua musim dengan tajaan bernilai RM16 juta.