suria

Hindari Tajaan Untuk Publisiti Murahan - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

KUANTAN: Persatuan bola sepak di negara ini diingatkan supaya mencari syarikat yang benar-benar serius dan komited sahaja dalam penajaan sukan itu dan bukannya pihak yang mementingkan publisiti murahan semata-mata. 

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah walaupun mencari penaja dalam sukan bola sepak diakui sukar pada masa ini, namun perkara itu perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah di kemudian hari.

Titah baginda, antara masalah yang dikhuatiri berlaku adalah kegagalan mematuhi sepenuhnya syarat penajaan selepas perjanjian dimeterai berikutan ketidakmampuan penaja.

"Jadi kalau nak cari penaja, biar cari penaja yang benar-benar berkemampuan. Kita tak mahu nanti apabila berjanji, tak dapat ditunaikan di belakang hari," titah baginda di sini.

Baginda bertitah demikian ketika mengulas fenomena baharu dalam sukan bola sepak negara apabila beberapa syarikat kosmetik tampil untuk menaja pasukan bola sepak baik dalam Liga Perdana mahupun Liga Super.

Antaranya ialah Vida Beauty Sdn Bhd yang dimiliki oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang tampil menaja pasukan Kelantan sebanyak RM16 juta.

Seorang lagi usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, pemilik syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaja pasukan Selangor.

Selain itu syarikat kosmetik Megah Perawan turut merancang untuk menaja pasukan PKNS FC dengan nilai jutaan ringgit.

Mengulas senario itu, Tengku Abdullah bertitah ia satu perkembangan yang baik dan sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan imej sukan bola sepak di negara ini menerusi penajaan yang diberikan.

"Kita alu-alukan mana-mana individu dan syarikat hendak menaja pasukan bola sepak negeri, bergantunglah kepada budi bicara mana-mana pasukan sama ada hendak menerima atau menolaknya," titah baginda.

Titah baginda, masih terlalu awal untuk membuat penilaian sama ada penajaan daripada syarikat kosmetik ini mampu mengubah landskap sukan tersebut di negara ini.

"Soal mengubah landskap bola sepak, jadi lebih meriah, saya ingat kita perlu tunggu dan lihat," titah baginda. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JDT Buru Pemain Baharu

Artikel Lain