JOHOR BARU: Juara Liga Super musim lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) merancang mendapatkan beberapa lagi pemain baharu dalam usaha menjadi pasukan pertama menjuarai liga itu tiga tahun berturut-turut. Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards berkata, kelab itu mahu memastikan skuad musim ini benar-benar mantap bagi mendukung cabaran pasukan Harimau Selatan. "Kami sering mengadakan perbincangan untuk memantapkan pasukan. Jangan terkejut jika ada tambahan pemain baharu bagi pasukan ini sebelum musim bermula. "JDT bukan hanya ingin mempertahankan Liga Super tetapi mahu menjadi pasukan pertama menjuarainya tiga tahun berturut-turut. "Kami juga menyasarkan gelaran AFC, jadi kami memerlukan pasukan yang benar-benar mantap," katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi baharu JDT untuk musim 2016 di Dataran Bandaraya, di sini malam Sabtu. Pasukan Harimau Selatan itu sebelum ini sudah mendapatkan khidmat Rozaimi Abdul Rahman, Aznie Taib, Azamuddin Akil dan Paulo Rangel untuk memperkasakan jentera pasukan menjelang saingan Liga Malaysia serta Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Mereka juga mempunyai beberapa pemain berpengalaman seperti Safiq Rahim, Marcos Antonio, Hariss Harun and Jorge Pereyra Diaz. Buat ketika ini, pemain dan jurulatih JDT berada di Bangkok, Thailand untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab negara itu, Chonburi FC. - Bernama