KONTROVERSI isu mengatur perlawanan menjadi perhatian pada hari pertama Kejohanan Tenis Terbuka Australia pada Isnin. Beberapa nama besar bintang dunia turut dituduh terlibat dengan skandal terbaharu ini malah badan induk tenis dunia juga dikatakan telah diberi amaran mengenai perkara ini. Skandal mengatur jadual perlawanan itu dilaporkan sudah berlaku sejak beberapa tahun sebelum ini. Malahan siasatan pencegahan rasuah telah dijalan terhadap Persekutuan Tenis Antarabangsa dan mereka turut menyorok perkara tersebut kerana beberapa orang pemain sedang beraksi. Dokumen laporan tersebut telah diserahkan kepada Buzzfeed News dan BBC yang mengambil keputusan tidak mahu mendedahkan nama-nama pemain yang terlibat. Selain nama-nama pemain yang sedang beraksi di Melbourne ini, beberapa nama pemain yang sudah bersara juga dilaporkan turut terlibat. Malah tiga jadual perlawanan pada Kejohanan Wimbledon turut difailkan, namun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenainya.