suria

Baik Pulih Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Dimuktamadkan Jumaat Ini

KOTA BAHARU: Proses baik pulih Stadium Sultan Muhammad ke-IV oleh penaja pasukan Kelantan - Vida Beauty Sdn Bhd, akan dimuktamadkan Jumaat ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata secara dasarnya kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan cadangan syarikat itu untuk menukar warna stadium dari merah-putih kepada merah jambu-putih.

"Saya akan bertemu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada Jumaat ini dan saya dimaklumkan Datuk Seri Vida (Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) juga akan hadir.

"Kita akan muktamadkan apa yang ada dalam idea beliau (Dr Hasmiza) untuk kita pertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di sini, Selasa.

Difahamkan, stadium keramat pasukan The Red Warriors itu akan dicat dengan warna merah jambu-putih secara berpetak dan bukannya berjalur.

Hasmiza, yang merupakan Penasihat Kehormat KAFA dan juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat penajaan yang dikenakan kepada KAFA termasuk menukar warna stadium, laluan dan tempat khas kepada wanita di stadium itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain