ROGER Federer meminta fakta kukuh mengenai laporan kontroversi mengatur perlawanan melibatkan juara grand slam yang tersebar pada hari pertama Kejohanan Tenis Terbuka Australia pada Isnin. Aksi pemain-pemain utama dunia di Melbourne dihiasi dengan laporan oleh BBC dan BuzzFeed online yang mendakwa badan induk tenis dunia gagal mengawal 16 orang pemain yang disyaki terlibat dengan skandal ini. Manakala jaguh No.1 dunia, Novak Djokovic telah memberitahu kepada pasukannya mengenai tawaran kepadanya $200,000 (RM879,210) bagi mengatur perlawanan pada tahun 2007. Federer dan Djokovic menegaskan bahawa mereka mahu laporan yang lebih kukuh. “Saya mahu mendengar nama-nama itu. Atau sekurang-kurangnya bukti kukuh dan barulah kamu boleh mempersoalkannya. “Adakah bekas pemain? Adalah pasukan sokongan? Adakah sebelum ini? Siapa? Adakah pemain beregu, perseorangan? Slam yang mana? “Ia sudah tersebar di semua tempat. Amat mengarut jika menjawab sesuatu soalan yang sebenar hanya spekulasi,” jelas Djokovic. Tambah Djokovic, dia tidak pasti sama ada aktiviti mengatur perlawanan ini berlaku di peringkat tertinggi. “Saya pernah ditawarkan oleh individu yang bekerja dengan saya. Sudah tentu kami menolaknya serta-merta. “Pada pandangan dan pengetahuan saya mengenai mengatur perlawanan ini, ia langsung tidak berlaku di peringkat tertinggi. Itu sahaja yang saya tahu setakat ini”. Manakala Federer yang merupakan pemain perseorangan yang paling berjaya dengan 17 rekod kejohanan utama menjelaskan ia adalah ‘super serius’ melibatkan sukan, tetapi akan lebih terkejut jika ada pemain-pemain terkenal terlibat. “Sejauh mana ia tersebar? Saya yakin akan lebih terkejut jika semakin banyak dilaporkan,” kata Federer.| “Kami telah membuat segala-galanya bagi memastikan sukan ini bersih kerana ia sangat penting,” kata pemain kelahiran Switzerland itu.