suria

Beri Ong Masa Pilih Pemain Sendiri- Sathia

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan menjelaskan bahawa pemilihan Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih kebangsaan adalah keputusan sebulat suara.


Menurut Sathia, faktor pengalaman mengendalikan skuad negara sebelum ini menjadikan Kim Swee dipilih berbanding dua lagi calon lain (Robert Albert dan Bojan Hodak).

“Semua yang lain menunjukkan prestasi yang baik tetapi pengalaman beliau bersama skuad negara memihak kepadanya.

“Peluang ini diberikan kepadanya dan berharap beliau dapat menunjukkan sesuatu yang baik dan dapat membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Beri masa kepadanya untuk memilih pemain-pemainya sendiri memandangkan beliau tidak mempunyai pilihan pemain lain ketika mengambil alih tugas daripada Dollah Salleh sebagai jurulatih sementara,” jelasnya kepada media selepas pengumuman Kim Swee sebagai ketua jurulatih negara pada Isnin.

Dalam pada itu, Sathia juga turut mengulas mengenai pandangan yang mahukan muka baharu menguruskan skuad Harimau Malaya ini.

“Saya sedar semua nak nafas baru, nak perubahan tetapi pemilihan Kim Swee ini mengikut syarat.

“Tetapi harus tahu kalau kita nak ambil Mourinho (bekas pengurus Chelsea ) yang tidak ada kerja sekarang, kita  perlu ada duit juta-juta dalam FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

“Tetapi sebenarnya ia bukan berkaitan dengan duit sahaja, perlu tahu takat mana pemain-pemain kita sekarang. Dan dari mula lagi sudah beritahu syarat bahawa seseorang itu perlu tahu tentang bola sepak ASEAN.

“Selain itu, ada juga beberapa jurulatih handal yang memohon, tetapi profil tidak lengkap. Mereka juga hanya menggunakan ejen dan minta ditemuduga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sathia yang juga bekas jurulatih kebangsaan mendedahkan perubahan yang ketara perlu dbuat untuk melihat kejayaan pasukan ialah disiplin pemain.

“Saya tahu satu, bezanya dulu dan sekarang amat ketara dari segi persiapan semua pasukan.

“Kita ambil contoh kelab JDT yang berjaya menjadi juara AFC, ia bermakna kecergasan mereka di tahap yang tertinggi. Jadi tidak ada lagi soalan tentang pemain sama ada cergas atau tidak.

“Sekarang semua pasukan yang megambil bahagian dalam Liga Super dan Liga Perdana mesti ada jurulatih kercergasan.

“Jadi pemain-pemain mesti ‘fit’ . Tidak seperti dulu kerana sekarang sudah ketatkan syarat-syarat itu di liga bermakna semua pemain lebih bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan,” jelas bekas jurulatih Kelantan dan ATM ini.



Sathianathan, PJBM, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain