suria

Sukan, Bisnes Dan Keluarga Pelengkap Hidup Hung Nung

WONG Hung Nung merupakan salah seorang pemain bola sepak pada era kegemilangan pasukan Malaysia digeruni dan dihormati oleh negara-negara lain.

Aksi Hung Nung yang berani dan pantas mengawal lawan di barisan pertahanan bersama Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Datuk Jamal Nasir pastinya akan terus diingati.

Lebih menarik, Hung Nung bukan sahaja mencatat kejayaan karier bola sepak bersama pasukan Selangor dan Malaysia tetapi dia juga turut mewakili negara dalam golf di peringkat antarabangsa.

Hung Nung mengimbas kembali detik permulaan dia dipanggil menyarung jersi negara ketika usianya 19 tahun walaupun tidak mewakili mana-mana negeri ketika itu.

“Saya beraksi dengan sebuah kelab pada tahun 1977 dan beberapa kali turut menentang pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan.




“Saya bermain dengan baik dan selepas itu dipanggil menyertai skuad negara untuk Kejohanan Piala Raja-Raja di Bangkok,” jelas Hung Nung,57.

“Kami berkongsi kejuaraan dengan Korea Selatan. Saya beraksi dengan baik pada saingan akhir tetapi terpaksa menanggung kecederaan di bahagian tumit.

“Selepas itu saya sekali lagi dipanggil menyertai barisan negara ke Sukan SEA yang menyaksikan kami meraih pingat emas,” tambahnya.

Pada tahun berikutnya, dia menyertai pasukan Selangor bersama pemain-pemain terkenal seperti Chin Aun, Santokh, Mokhtar Dahari dan R. Arumugan.

“Sudah tentu sebagai pemain muda dan baru ia bukannya sesuatu yang mudah untuk bersama dengan pemain-pemain hebat seperti Mokhtar, Aru, Santokh. Ia membuatkan kamu berasa tertekan untuk membuktikan kebolehan diri sendiri,” jelas Hung Nung yang turut dipilih menjadi penolong kapten.

Menurut Hung Nung lagi, pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika pertama kali beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Singapura.

“Saya masih ingat, ketika itu perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat. Singapura menjadi pasukan pilihan memandangkan mereka mempunyai sentuhan  Fandi Ahmad dan Kannan Kunjuraram.

“Dan kami memenangi perlawanan tersebut,” katanya.

Ketika bersama Selangor, Hung Nung berjaya membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia sebanyak enam kali. Malah Hung Nung telah menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak negara apabila menjulang trofi juara Piala Merdeka buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun selepas menewaskan Czechoskovakia 3-0 dalam aksi akhir.

Hung Nung menjaring gol pertama melalui sepakan penalti, manakala dua gol lagi dilakukan oleh Zainal Abidin Hasan dan Dollah Salleh.

Pada tahun 1982, Hung Nun yang mencatat lebih daripada 100 kap dilantik sebagai ketua pasukan ke Sukan Asia dan Sukan SEA 1985 yang menyaksikan Malaysia berjaya meraih pingat gangsa dalam kedua-dua temasya itu.




Selain itu, pada tahun 1987, satu insiden telah berlaku ke atasnya ketika cuba menanduk bola, dia telah dilanggar di bahagian muka yang menyebabkannya terus pengsan.

Dia terus dihantar ke hospital dan keesokan harinya Hung Nung mengalami pendarahan dan mendapati tulang pipinya patah.

Kecederaan itu menyebabkan Hung Nung terpaksa berehat selama lapan minggu dan ketika itu jugalah dia mula menyedari ligamennya koyak.

Berehat panjang membuatkan Hung Nung berjinak-jinak dengan acara golf yang mulanya sekadar acara riadah.

“Saya mula bermain golf di Kelab Golf Sentul dan ternyata ia sangat menarik. Semakin banyak saya bermain, semakin teruja untuk mendalaminya,” jelas Hung Nung.

Semenjak itu, golf menjadi tumpuan utamanya dan mengambil langkah untuk meningkatkan lagi corak permainan serta meletakkan sasara untuk mewakili negara

“Ia bermula apabila latihan pasukan Selangor mula menjalani latihan dan akhbar melaporkan saya tidak menjalani latihan, manakala satu lagi laporan mengenai saya sedang menguasai pusingan pertama Golf Terbuka Amatur Penang!”

Jelasnya, selepas laporan itu, Hung Nung berjumpa dengan pengurus pasukan Mazlan Harun dan memberitahu ingin bersara sebagai pemain berikutan laporan kecederaan yang dialaminya. Permintaannya itu diterima.

Pada tahun 1998, Hung Nung berjaya menjuarai sirkit tempatan serta beberapa kejohanan negeri dan setahun kemudian dia dipanggil menyertai pasukan negara sehinggalah tahun 1994.

Sepanjang bergelar pemain golf, Hung Hung berjaya mencatat beberapa kejayaan dengan meraih pingat emas dalam acara berpasukan, manakala gangsa bagi saingan individu.

Bergelar sebagai pemain negara memberi berpeluang kepada Hung Nung untuk bertemu dengan ramai pemain terkemuka dunia ketika menyertai kejohanan di New Zealand dan Kanada.

Selepas lima tahun mewakili negara, Hung Nung mengambil keputusan untuk bergelar pemain profesional sekaligus menerima tawaran sebagai pengarah golf di Mines Resort and Golf Club yang menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun 1999.

Dan selepas tamat berkhidmat di Mines, Hung Nung mengambil langkah menceburi bidang perniagaan yang berkaitan dengan akademi golf, pengurusan acara dan menjadi pengedar kereta Perodua di samping turut aktif menyertai pertandingan profesional tempatan.

Pada tahun 2001, dia berjaya bergelar juara dalam dua kejohanan profesional, Genting Masters dan Piala Presiden.

“Golf sentiasa membuatkan saya bersemangat walaupun sudah beberapa tahun tidak beraksi dalam pertandingan profesional.

“Hari ini saya berpuas hati dengan apa yang dicapai dalam bidang sukan dan perniagaan. Malah saya juga bersyukur kerana berpeluang ke luar negara secara percuma, mempunyai seorang isteri baik dan dua orang anak perempuan.

“Apa yang penting adalah menghargai kehidupan dan take things easy.” 

Wong Hung Nung, Bolasepak, Golf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain