suria

Chong Wei Mulakan Langkah Kanan

Lee Chong Wei.

GEORGE TOWN: Pemain perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan langkahnya dalam pusingan pembukaan kejohanan badminton Malaysian Masters Grand Prix Gold (GP Gold) di sini dengan meraih kemenangan pada Rabu.

Dalam kempennya untuk menjulang gelaran juara Grand Prix Gold pertama musim ini, Chong Wei mengambil masa 31 minit untuk mengetepikan Fikri Ihsandi Hadmadi dari Indonesia dengan 21-14, 21-15.

Chong Wei, 33, akan berdepan dengan Kantawat Leelavechabutr dari Thailand pada pusingan kedua lewat hari ini dalam usahanya meraih gelaran juara bagi kali keempat kejohanan Malaysian Masters.

Pemain berasal dari Pulau Pinang ini menjuarai Malaysian Masters pada 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pemain perseorangan lelaki pertama dalam skaud Piala Thomas Malaysia, Zulfadli Zulkiffli, yang mengalahkan pemain China, Zhu Siyuan of China, dengan mata 24-22, 21-14 pada pusingan pembukaan.

"Pada set pertama, saya rasa kekok dan melakukan banyak kesilapan, tapi dapat mengatasinya dengan cepat dan menjadi lebih yakin pada perlawanan kedua," katanya.

Pemain berusia 22 tahun yang lahir di Amerika Syarikat ini akan berjumpa pemain pilihan kelima, Hu Yun dari Hong Kong, yang mengalahkan pemain Malaysia, Ai Wei Jian dengan mata 21-13, 21-7.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki Malaysia yang mara ke pusingan kedua ialah Soo Teck Zhi setelah mengalahkan pemain Indonesia Nathaniel Ernestan 21-13, 21-15.

Pemain perseorangan lelaki Malaysia lain yang akan turut beraksi pada kejohanan ini ialah Soong Joo Ven, Tan Chun Seang, Liew Daren, Mohd Arif Abdul Latif, Goh Soon Huat, Zulhelmi Zulkiffli, Chong Wei Feng, Chong Yee Han, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Shahzan Shah Misfahul, Eizlan Shah Misfahul Muneer, Yeoh Seng Zoe, Goh Giap Chin dan Lim Chi Wing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

TRW Sarung Jersi Jenama DSV

Artikel Lain