suria

"Saya Mahu Jadi Penaja Utama" - Rita Sosilawati

PUTRAJAYA: Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari berhasrat menjadi penaja utama pasukan bola sepak atau sukan lain dengan syarat ia membawa pulangan setimpal untuk semua pihak terlibat.

Hasrat anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu berkata, pada dasarnya sebagai ahli perniagaan tentunya mahu melihat pulangan dan keuntungan menerusi kerjasama itu.

"Tetapi sudah tentu saya mahu menjadi penaja utama. Jika saya tidak mendapat ROI (pulangan pelaburan) yang sepatutnya dengan pasukan bola sepak, mungkin saya akan ke (menaja) sukan lain.

"Saya tak nak nanti bila dah taja, kita tak dapat pulangan yang baik. Dan ia tidak baik untuk syarikat sebab saya hendak bertahan lebih lama dalam industri (kosmetik) ini.

"Bola dan sukan-sukan lain pula industri baru. Tahun ini kita hendak terokai dalam semua industri," katanya apabila ditanya mengenai musim baharu liga yang semakin hampir pada Februari ini.

Usahawan muda yang lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati itu bagaimanapun enggan mengulas saat diajukan soalan mengenai jumlah tajaan sekiranya hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pasukan direalisasikan.

Terdahulu, Rita berpeluang mengadakan perbincangan awal dengan 'orang kuat' Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkaitan tajaan sukan khususnya bola sepak.

Pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk M. Saravanan berlangsung pada majlis perasmian Idol Spa KBS-NV di kementerian tersebut di sini, pagi Khamis.

Pembukaan spa tersebut hasil kerjasama strategik antara NV dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

"Tadi pra perbincangan dan dalam waktu terdekat perjumpaan akan diadakan untuk bincangkan hal tajaan kerana saya perlu dapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang pakar.

"Tak semestinya (tajaan) dalam bola, mungkin sukan-sukan lain," katanya.

Beliau berkata, menerusi perbincangan ringkas itu, Khairy dan Saravanan menganggap senario syarikat kosmetik menaja pasukan bola sepak dilihat sebagai sesuatu yang menggalakkan dan membuka mata banyak pihak untuk  membangunkan sukan itu.

Sementara itu, Saravanan ketika diminta mengulas mengenai hasrat Rita berkata, ia adalah trend sektor korporat yang ketika ini tampil menaja pasukan bola sepak.

"Rita akan kaji sama ada ia (tajaan) akan membawa pulangan. Ia cadangan yang baik di mana semua syarikat memberi sesuatu kepada masyarakat," katanya.

mStar Online sebelum ini mendedahkan mengenai hasrat Rita untuk bekerjasama dengan salah satu daripada empat pasukan dalam saingan Liga Super sama ada Selangor, Kedah, Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mengenai pemilihan pasukan itu, Rita menjelaskan bahawa ia masih belum dimuktamadkan.

"Adalah dalam dua, tiga pasukan, cuma kita tak nak dedahkan kerana selagi belum confirm. Dah confirm saya akan buat PC (sidang media)," katanya sambil mengakui pihaknya dan pasukan-pasukan berkenaan saling berhubung.


Artikel Lain