suria

Singa Utara 'Sambar' Pemain Import Dari Thailand

KANGAR: Kehadiran bekas penyerang kelab dari Thailand, Buriram United FC dikatakan mampu memperkuat ngauman Singa Utara dalam Liga Perdana musim ini.

Penyertaan Kayne Vincent, 28, melengkapkan kuota pengambilan pemain import bagi pasukan itu.

Tiga pemain import sedia ialah bekas penyerang Felda United, Edward Junior Wilson, bekas pertahanan ATM dan Kelantan, Obinna Nwaneri dan bekas sayap PDRM, Mohamadou Sumareh.

Ketua Jurulatih Perlis, Dollah Salleh berkata pemain kelahiran New Zealand itu lulus saringan kesihatan dan ujian kecergasan serta boleh menandatangani kontrak bersama Perlis sebelum 28 Januari ini.

Saya harap dengan adanya khidmat penyerang berpotensi yang berpengalaman beraksi di Jepun, India dan Australia ini, dia berupaya memperkuatkan barisan penyerang Perlis," katanya.

Mengenai pemain import yang lain, Dollah berkata prestasi mereka semakin baik dan dapat menyesuaikan diri semasa sesi latihan yang sudah masuk minggu ketiga.

"Sebelum ini para pemain termasuk teraju import kelihatan agak lembik dan kurang cergas, tetapi minggu ini saya lihat Wilson sudah menunjukkan apa yang saya harapkan darinya.

"Nwaneri pula walaupun agak kurang dari aspek kecergasan, tetapi banyak mempengaruhi pasukan dalam membina keserasian dengan cepat bersama pemain lain sementara Sumareh agak menjadi semasa sesi latihan, kata Dollah.

Mengenai posisi penjaga gol, beliau berkata beliau membuat keputusan untuk membawa masuk penjaga gol ketiga yang beraksi dalam Piala Presiden sebelum ini.

Mohd Hazran Safawan Mohd Sobri, 21, akan menggantikan Muhammad Saiful Niza Nasir yang maut dalam kemalangan Isnin lepas sehari sebelum sempat menandatangani kontrak bersama pasukan Perlis, katanya.

Mohd Hazran telah mula menjalani latihan Selasa lepas bersama rakan sepasukan yang lain. Jadi lengkap sudah keseluruhan posisi dan saya harap mereka terus gigih berlatih dan menyerlah pada musim ini," katanya.

Singa Utara akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 28 Jan ini berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC) di Stadium Tuanku Syed Putra, sebelum berdepan kelab dari Thailand, Hat Yai FC pada 30 Jan dan bertemu Kedah pada 1 Feb.

Singa Utara, Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain