suria

Tan Cheng Hoe Dalam Dilema

Tan Cheng Hoe

DALAM dilema. Itu situasi pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan kesungguhan anak didiknya dalam tiga perlawanan persahabatan pra musim termasuk yang terbaru menentang Phuket FC pada Sabtu.

Dalam perlawanan di selatan Thailand itu, skuad Helang Merah terikat dengan kedudukan 1-1, selepas Cheng Hoe membenarkan kesemua pemain untuk mempamerkan kemampuan masing-masing.

Menurutnya, kesemua pemian yang didaftarkan untuk beraksi pada Liga Malaysia musim ini termasuk ke empat empat pemain import Liridon Krasniqi, Bang Seung Hwan, Sandro Da Silva dan Carlos Kahe telah diberi peluang untuk membuktikan kemampuan.

“Setelah menyaksikan kesemua pemain beraksi, kini saya berada dalam dilema untuk memilih kesebelasan yang akan beraksi pada perlawanan pembukaan Liga Super bertemu Felda United di Stadium Felda, Jengka pada 13 Februari.

“Bukan setakat kesebelasan utama malah saya kini menghadapi masalah untuk memilih 18 pemain yang bakal di bawa ke Jengka kerana kesemua pemain telah mempamerkan kesungguhan dan komitmen terbaik ketika diberi peluang.

“Walaupun berjaya seri 1-1 ketika bertemu Phuket FC tetapi saya berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan. Cuma ada beberapa kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan yang perlu diperbaiki sebelum bermula Liga Super," katanya.

Tambah Cheng Hoe, kesemua pemain diharap dapat meningkatkan lagi prestasi mereka pada baki dua perlawanan persahabatan bertemu Krabi FC (Isnin) dan Songkhla FC pada Rabu.

Jelasnya, tiga perlawanan pra musim di Thailand mampu memberi gambaran jelas mengenai keserasian dan kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

“Saya lega kerana lima pemain Harimau Muda yang baru menyertai pasukan Kedah bersama penyerang import baru iaitu Kahe serta Fakri Saarani, Azmeer Yusof dan Amar Rohidan mampu memahami corak permainan kita dan mengadaptasikan di atas padang pada masa yang singkat ini.

“Apa yang penting ialah barisan pemain saya mengetahui bukan mudah untuk mereka berada dalam kesebelasan utama dan ini memaksa mereka beraksi dengan penuh kesungguhan dan memberi yang terbaik untuk persembahan masing-masing.

“Inilah keadaan yang akan memastikan pasukan Kedah mampu memberi prestasi konsisten yang diharapkan oleh jurulatih dan penyokong demi kita menjadi pencabar utama walaupun baru kita pendatang baru dalam Liga Super musim ini,” tegas Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan La Liga, Isnin

Artikel Lain