suria

Van Gaal Tawar Letak Jawatan Tapi Ditolak Oleh United

Pengurus Manchester United, Louis van Gaal kini hanya mempunyai satu sahaja lagi perlawanan untuk menyelamatkan kedudukannya.

AKHBAR berpengaruh Britain, The Guardian melaporkan bahawa Pengurus Manchester United, Louis van Gaal telah menawar diri untuk melepaskan jawatannya selepas kelab itu tewas buat kali keenam dalam perlawanan liga di tangan Southampton Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tawarannya itu ditolak oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, yang meminta van Gaal balik berbincang berhubung perkara itu dengan keluarganya terlebih dahulu.

Sejurus selepas itu, van Gaal telah berlepas balik ke Belanda untuk bersama-sama keluarganya meraikan ulang tahun kelahiran anak perempuan mereka.

Van Gaal kini telah kembali ke Manchester semula dan dilaporkan menyambung perbincangannya dengan Woodward pada Selasa sebelum mengendalikan sesi latihan dengan para pemain.

Woodward berhadapan dengan persoalan berat dan sukar iaitu apakah sekarang masa yang sesuai untuk kelab itu berpisah dengan van Gaal.

Sebaik sahaja mereka tewas Sabtu lalu, Van Gaal, 64, buat pertama kalinya memberitahu wartawan yang dia telah mengecewakan para penyokong United.

Dia berkata demikian setelah dicemuh oleh para penyokong United sewaktu berjalan masuk ke pintu bilik persalinan selepas perlawanan tamat.

Woodward bagaimanapun dilaporkan memerlu sedikit masa lagi untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang sedang melanda kelab berkenaan.

Salah satu sebab Woodward enggan melepaskan van Gaal buat masa ini adalah kerana dia tidak mahu dipaksa melantik pengurus baru di pertengahan musim yang boleh menjerumuskan United ke dalam satu lagi episod membuat pilihan yang salah.

Walaupun Jose Mourinho yang dipecat oleh Chelsea bulan lalu masih belum disambar oleh mana-mana kelab tetapi sikap moody pengurus dari Portugal itu boleh menjejaskan suasana mood pasukan dalam situasi yang tidak stabil sekarang.

Ramai yang mendesak agar United mendapatkan bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola yang sudah pun mengumumkan yang dia bakal meninggalkan Bayern Munich sebaik sahaja musim ini tamat.

Namun Woodward percaya yang Guardiola sudah pun membulatkan hati untuk berhijrah ke Manchester City bukan United.

Andai kata United tewas di tangan Derby County dalam pusingan keempat Piala FA Inggeris Jumaat ini, Woodward tidak mempunyai pilihan lagi melainkan terpaksa membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan pengurus mereka.

Malah van Gaal sendiri terpaksa dengan hati yang berat meninggalkan Old Trafford jika pasukan bimbingannya gagal menewaskan Derby. Satu lagi kekalahan sudah memadai untuk menentukan nasibnya yang malang bersama kelab ini.

Sehari selepas Krismas, United dimalukan oleh Stoke City apabila mereka tewas 2-0, iaitu perlawanan yang ketujuh tanpa kemenangan.

Dua hari kemudian mereka mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Chelsea. Van Gaal kemudiannya mengharungi lima perlawanan tanpa kalah.

Namun begitu seri 3-3 dengan Newcastle United, telah mencetuskan semula rasa gelisah peminat tetapi kemenangan 1-0 ke atas Liverpool, meredakan sedikit suasana tegang dan panas.

Malangnya Sabtu lalu, United kembali dengan persembahan yang goyah tanpa sebarang ancaman. Mereka hanya mampu mengancam satu percubaan ke arah pintu gol Southampton sepanjang 95 minit perlawanan.

Van Gaal dilihat gagal memberi inspirasi kepada United untuk bermain mengikut tempo serangan yang menjadi identiti kelab tersebut di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Di kalangan lapan pasukan teratas liga buat masa ini, rekod jaringan gol United adalah yang terburuk iaitu sekadar 28 gol sahaja.

Kini ramai yang merumuskan United di bawah van Gaal jauh lebih membosankan ketika mereka di bawah David Moyes - pengurus pilihan Ferguson yang dipecat dengan perlawanan liga hanya berbaki empat sahaja lagi dua musim yang lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain