suria

Rossi, Marquez Kembali Ke Sepang Untuk Ujian Pramusim Pertama MotoGP 2016

KUALA LUMPUR: Penunggang Itali, Valentino Rossi dan Marc Marquez dari Sepanyol akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menyertai ujian rasmi pramusim pertama MotoGP 2016.

Mereka akan bersama-sama semua penunggang MotoGP lain, kecuali dari pasukan Aprilia, untuk menyertai ujian tiga hari itu sebagai persiapan menghadapi apa yang disifatkan sebagai musim yang amat mencabar, berikutan perubahan drastik yang dilakukan terhadap peraturan perlumbaan.

Selain pengenalan Unit Kawalan Elektronik (ECU) tunggal bagi semua pasukan dan penunggang, MotoGP kali ini juga beralih daripada menggunakan tayar Bridgestone kepada tayar Michelin.

Ketua pegawai eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dalam kenyataan hari ini berkata, berikutan dua perubahan itu, sukar untuk meramalkan peserta yang akan menjadi pendahulu dalam persaingan untuk merebut gelaran juara.

"Besar kemungkinan mereka dari pasukan kilang Yamaha, Honda, Ducati dan Suzuki. Saya harap, musim ini tidak kurang meriahnya daripada musim lepas, dengan gelaran juara ditentukan pada perlumbaan terakhir musim ini atau pada pusingan kedua terakhir di Sepang.

"Berikutan cabaran yang bakal mereka hadapi, semua penunggang, termasuk Rossi dan Marquez, sudah tentu akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas masing-masing serta mengumpul sebanyak mungkin data daripada ujian selama tiga hari itu," katanya.

Razlan berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, para penunggang mempunyai masa ujian yang terhad di Sepang kerana hanya terdapat satu sesi untuk tahun ini dan mereka akan melakukan ujian di atas permukaan asfalt sedia ada minggu depan tetapi berlumba di trek baharu pada Oktober.

Trek Sepang akan ditutup untuk kerja penurapan semula sepenuhnya dari 15 Feb hingga 8 Mei tahun ini.

Penunggang MotoGP akan melakukan ujian seterusnya di Phillip Island dari 17 hingga 19 Februari, sebelum menyertai ujian akhir di Qatar sebelum musim ini membuka tirainya.

MotoGP Malaysia 2016 dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober.-- Bernama

MotoGP, Valentino Rossi, SIC, Sepang

Artikel Lain