suria

Pertandingan Kenderaan Berhias Sebelum Sepak Mula Di Stadium Pink

Vida dan Annuar mengayakan trademark Qu Puteh bersama dengan Bendahari KAFA Nik Aminaldin Jaafar (kanan) semasa pertemuan bagi membincangkan isu pengubahsuaian Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, malam Selasa. - foto ihsan @ Instagram datoserivida.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan pertandingan perarakan kenderaan berhias tercantik bertemakan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi menghangatkan pembukaan aksi Liga Malaysia, bulan depan.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, pertandingan itu bertujuan menghargai sokongan peminat terhadap segala usaha yang dilakukan untuk mentransformasikan pasukan tersebut pada musim ini.

Malah, katanya, ia juga sebagai simbolik kepada pembukaan Stadium Sultan Muhammad IV yang berwajah baharu.

"Saya dan Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) memutuskan untuk mengadakan pertandingan kereta dan motosikal tercantik bertemakan PQPTRW.

"Kita mahu rakyat turut merasai kehangatan pesta bola yang diberi nafas baharu," katanya kepada mStar Online.

Menurut usahawan kosmetik terkemuka negara itu, pertandingan tersebut akan diadakan sehari sebelum perlawanan Kelantan menentang PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru yang dijadualkan pada 16 Februari ini.

"Kita akan himpunkan semua kereta dan motosikal berarak memasuki stadium. Ia akan diadakan sehari sebelum perlawanan di stadium keramat ini. Jika buat pada hari perlawanan itu sendiri takut nanti jalan sesak pula," katanya.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata penyertaan tersebut terbuka kepada orang ramai dengan dua kategori dipertandingkan iaitu kereta dan motosikal berhias tercantik.

"Sayang semua boleh sertai, tak kira jenis kereta atau motosikal apa, tanda sokongan kepada pasukan ini. Anda boleh hias ikut kreatif masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pertandingan tersebut menawarkan hadiah lumayan bernilai RM20,000.

"Siapa yang paling kreatif akan dinobatkan sebagai juara. Jemput sayang-sayang semua sertai pertandingan ini untuk memeriahkan suasana di stadium pink nanti," katanya.

Terdahulu, Hasmiza mengadakan pertemuan dengan Kafa bagi membincangkan isu berkaitan pengubahsuaian Stadium Sultan Muhammad IV yang sedang giat dilakukan untuk memberi keselesaan kepada penonton.

"Setakat ini kerja pengubahsuaian telah siap 30 peratus. Saya harap kerja mengecat kawasan dalam dan luar stadium dapat diselesaikan sebelum sepak mula agar perjalanan perlawanan tidak terjejas," katanya.






Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain